TP, Tg Piai Tolak Pakatan… Pentas Mula Dibuka

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Barisan Nasional (BN), sebuah parti yang mendukung proses demokrasi tekad merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) apabila bermulanya proses penamaan calon hari ini.

Ribuan penyokong dan jentera BN mula memenuhi bilik gerakan utama BN di sini seawal jam 8 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Laungan ‘Hidup BN’dan ‘Tolak Pakatan Harapan’ mengiringi perarakan calon ke pusat penamaan, bagi memberikan sokongan penuh kepada calon parti.

Calon-calon dibenarkan mengemukakan kertas pencalonan bermula jam 9 pagi.

BN menampilkan calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu, Karmaine Sardini, Gerakan Wendy Subramniam dan dijangka beberapa calon lain.

Dr Wee merupakan Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai yang berpengalaman sebagai Ahli Parlimen di kawasan yang sama sebelum ini pada tahun 2008 hingga 2018 dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nenas.

Dr Wee diiringi pemimpin tertinggi parti seperti Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, Naib-naib Presiden UMNO, Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua-ketua Sayap Pergerakan dan kepimpinan tertinggi parti komponen menuju ke pusat penamaan calon jam 8 setengah pagi tadi.

Hadir sama mengiringi adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, kepimpinan Parti Cinta Malaysia, KIMMA dan begitu juga PAS seperti Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad serta pemimpin-pemimpin negeri dan kawasan bagi menyatakan komitmen mereka menyokong dan membantu kempen untuk calon BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November, Sabtu manakala undi awal ditetapkan pada 12 November, Selasa.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); DUN Semenyih (2 Mac 2019); DUN Rantau (14 April 2019); dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.