Tolak Politik Perkauman, Pilih Wakil Rakyat Yang Boleh Buat Kerja – Tok Mat

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru sahaja membuka tirainya hari ini dengan menampilkan enam orang calon bagi merebut kerusi berkenaan.

Walaupun begitu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat pertandingan sengit hanya terserlah antara dua parti sahaja iaitu BN dan juga Pakatan Harapan (PH).

“Sebenarnya dalam PRK Tanjung Piai ini ada dua parti sahaja yang bertanding iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Parti-parti yang lain itu cuma letak nama supaya orang jangan lupa. Minta maaf cakaplah ya…

“Jadi, pertembungan sengit hanya berlaku antara dua parti sahaja iaitu antara BN dan PH.

“Pertimbangan inilah yang perlu dibuat oleh rakyat di sini, mana satu parti yang cakap boleh buat kerja, yang mana satu cakap sahaja tak boleh buat kerja,” katanya kepada media ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian hari ini,

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara BN yang diwakili Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Karmaine Sardini dari PH, Wendy Subramaniam – Gerakan, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz – Berjasa dan dua dari Bebas, Dr Ang Chuan Lok serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Keenam-enam calon ini layak bertanding selepas nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Tanjung Piai, Zulikifly Mohd Tahir.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mengharapkan pengundi-pengundi tidak terpengaruh dengan emosi di dalam menunaikan hak mereka pada 16 Nov nanti sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap supaya pengundi-pengundi di Tanjung Piai menggunakan kebijaksanaan, jangan beremosi dan rasional dalam memilih wakil rakyat kerana merekalah (yang menang) yang akan bertanggungjawab menjaga kepentingan hal ehwal baik permasalahan mahupun pembangunan di kawasan ini untuk tempoh lagi tiga tahun.

“Jadi pilihlah wakil rakyat yang boleh memberikan khidmat yang baik. Barisan Nasional menurunkan Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mana ternyata telah tiga penggal di DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen sini, ternyata khidmatnya disenangi penduduk di sini.

“Kita memerlukan wakil rakyat yang berkaliber yang kita rasa boleh beri khidmat yang baik. Wee bukanlah orang yang baru di sini dan penduduk di sini telah dapat menilai jasa-jasa khidmat beliau selama berkhidmat sebagai ADUN dan juga sebagai ahli Parlimen,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat Hasan menasihati pihak-pihak yang bertanding agar tidak mewujudkan sentimen-sentimen perkauman.

“Yang bertanding BN bertanding berlawan dengan PH, Gerakan dan parti-parti lain. Jangan kita dihasut oleh orang macam-macam sehingga menimbulkan sentimen-sentimen yang tidak baik seperti perkauman sebab 16 hari sahaja berkempen.

“Selepas itu kita akan kembali bersama-sama duduk dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Jadi jangan kita gunakan pula 16 hari ini untuk menghantui, menghasut orang terutamanya menggunakan isu perkauman.

“Kita mesti menghidangkan satu politik matang di tanah air yang berbilang kaum ini, itu penting. Kerana jika kita masih lagi tersangkut di dalam kepompong lama, iaitu menggunakan sentimen perkauman ini sampai bila kita tidak boleh bergerak ke hadapan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.