Tidak Ada Perebutan, Kerjasama UMNO & MCA Kukuh Sejak Sebelum Merdeka Lagi – Zahid

 

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak pernah ada perebutan antara UMNO dan MCA dalam menentukan siapa calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Jelas beliau, apa yang ada hanyalah perbezaan pandangan namun ia semua adalah demi kepentingan parti dan segala konsensus dibuat atas semangat BN yang tinggi.

“Kerjasama antara komponen BN telah sekian lama kukuh sementak sebelum zaman merdeka lagi, kerana itulah pemilihan calon untuk PRK Tanjung Piai bersandarkan atas semangat yang tinggi antara satu sama lain.

“Pemilihan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng adalah kompromi di antara parti dalam komponen BN dan ia memperlihatkan permuafakatan yang terjalin. Ini adalah terjemahan dan kolobrasi antara pelbagai kaum dalam BN diterjemahkan dalam pemilihan calon di PRK ini,” ujar beliau kepada media selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian hari ini.

Tambah Zahid, tidak akan wujud satupun cabaran yang besar dan tidak dapat diatasi sekiranya semua jentera berstu-padu dalam memenangkan calon BN di PRK Tanjung Piai ini.

“Saya lihat hari ini bukan sahaja kepimpinan BN tetapi penyokong-penyokong MCA bersemangat dan amat luar biasa dan tentunya ia memberi harapan bahawa kerajaan satu penggal ini harus diberikan satu signal yang jelas bahawa mereka (PH) tidak lagi relevan di hati dan pemikiran rakyat,” jelas beliau. UMNO ONLINE