Pengundi Tanjung Piai Bakal Julang Manifestasi Muafakat Nasional

ALOR SETAR, 2 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Suraya Yaacob berkata, pemilihan calon MCA Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini merupakan intepretasi kepada Muafakat Nasional yang bakal merubah landskap politik negara kelak.

Jelas beliau, ia merupakan tanda komitmen UMNO, MCA, MIC, PAS dan semua parti yang sejiwa menyatu demi sebuah Malaysia yang lebih baik.

“Pencalonan calon daripada MCA ini juga membuktikan bahawa Muafakat Nasional yang ditunjangi oleh UMNO ini tidak berorientasikan rasis atau perkauman sebagaimana yang dituduh pihak tertentu sebelum ini.

“Sebaliknya kita lebih bersifat inklusif dan mengutamakan keadilan hak kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, adat dan budaya. Saya melihat ‘pertempuran’ sengit bakal berlaku di Tanjung Piai apabila ia menyaksikan pertembungan enam penjuru dan sudah parti PH seboleh-bolehnya akan cuba mempertahankan kerusi Parlimen yang disandang ini manakala usaha BN untuk merampas kerusi tersebut pula ‘diganggu’ oleh bekas rakan komponen iaitu Gerakan.

“Tapi itu semua bukan halangan untuk kita terus bekerja keras memastikan kemenangan BN di di PRK ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Tambah Suraya, calon yang diketengahkan oleh BN ini bukanlah sembarangan kerana beliau adalah merupakan bekas Adun Pekan Nanas sebelum dipilih rakyat Tanjung Piai sebagai Ahli Parlimen untuk dua penggal. Beliau juga merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting.

“Wee juga memiliki latar belakang akademik yang tinggi dalam bidang pentadbiran dan kerajaan di mana beliau baru saja menerima ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang Pengurusan Awam daripada UUM.

“Jelas sekali pemilihan beliau sebagai calon BN adalah tepat mengambil kira kriterianya yang kaya dengan pengalaman, keilmuan dan perawakannya yang begitu mesra dengan masyarakat berbilang kaum di Tanjung Piai,” jelasnya lagi.

Namun begitu ujar Suraya, harus diakui sekiranya BN menang di Tanjung Piai, ia tidak akan sama sekali menjatuhkan PH daripada menguasai kerajaan tetapi kemenangan BN di sini bakal menjadi langkah penting buat Muafakat Nasional sebelum menumbangkan PH pada PRU ke-15 kelak.

“Justeru saya merayu kepada kebijaksanaan dan tindakan rasional para pengundi Tanjung Piai untuk memilih calon BN sebagai petanda jelas kepada PH bahawa majoriti rakyat Malaysia sudah muak dan jelek dengan omongan kosong mereka.

“Undilah calon BN yang mewakili Muafakat Nasional ke arah sebuah Malaysia yang lebih baik,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.