Gerak Kerja BN Tahap Terbaik – Ir Hasni

TANJUNG PIAI, 2 Nov – Barisan Nasional (BN) melalui kerjasama parti-parti komponennya telah menyusun dan merancang gerak kerja yang terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, ujar Pengerusi Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Katanya, ini ditambah pula dengan pengalaman dan keupayaan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang pernah melalui beberapa siri kempen pilihan raya dan juga sebagai calon.

“Sejak memutuskan beliau mewakili BN, kita telah mengadakan perbincangan dan menyusun gerak kerja. Inilah penyusunan gerak kerja parti yang terbaik kerana kerjasama ketiga-tiga parti dalam BN bersungguh-sungguh.

“Dan memastikan supaya dapat menjejaki kesemua pengundi-pengundi di dalam kawasan Tanjung Piai. Kita tidak menebar jaring tapi kita memancing kepada satu-satu pengundi.

“Siri-siri kempen akan meletakkan kepentingan pengundi dan masyarakat Tanjung Piai dengan sedekat-dekatnya dan calon BN amat memahami denyut hati rakyat di Tanjung Piai ini,” katanya kepada media di bilik gerakan utama BN Tanjung Piai, di sini tengahari tadi, sebaik selepas selesai proses penamaan calon.

Hasni yang juga Ketua Pembangkang Johor turut menjelaskan bahawa Dr Wee memahami selera dan kemahuan masyarakat serta mudah di dalam memberi kerjasama.

“Kebetulan (nombor) calon BN adalah yang kedua dan simbol ‘victory’ (V-simbol dua jari) ini sebagai petanda awal dan satu signal yang boleh menyumbang semangat yang bertambah kepada jentera BN,” ujarnya lagi.

Seperti siri-siri kempen pilihan raya sebelum ini, Ir Hasni memberi jaminan bahawa BN akan memastikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dipatuhi.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata BN mengalu-alukan sokongan dari semua pihak kerana yang penting adalah kemenangan BN.

“Semangat BN yang telah terjalin begitu lama. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing, ianya bersifat inklusif dan tidak meminggirkan kaum-kaum lain.

“Saya yakin tak kira undi Cina, Melayu dan India …ia adalah sama penting,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga mengulas, rakyat sekarang amat terkesan dan mengalami keperitan hidup sejak PH memerintah negara ini.

Manakala bagi calon BN, Dr Wee yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata akan berusaha melakukan yang terbaik dan berharap agar masyarakat memilih BN.

“BN menghormati calon-calon yang bertanding dan ia satu cabaran. BN akan terus berusaha agar masyarakat Tanjung Piai terus mengundi BN.

“Bagi pihak BN ia adalah satu cabaran dan akan terus bekerja keras untuk memastikan pengundi-pengundi dapat mengundi BN.

“Kita bekerja sebagai satu pasukan dan kita mampu mengatasi segala permasalahan yang akan berlaku,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.