PRK Tg Piai: Mahasiswa UMNO Sambut Baik Calon BN, Bukti Tak Rasis Dan Inklusif

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Mahasiswa UMNO menyambut baik keputusan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang mencalonkan Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 2 Nov hingga 16 Nov nanti.

Bagi Mubarak Kunyi, beliau percaya bahawa keputusan ini dibuat secara bersama oleh pimpinan parti komponen BN bagi menjamin masa depan rakyat dan negara.

“Dengan pencalonan ini menutup mulut pengkritik khususnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini melabelkan UMNO sebagai rasis sekaligus membuktikan bahawa Muafakat Nasional bersifat inklusif buat semua kaum dan tidak rasis,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, rakyat khususnya anak muda di Tanjung Piai perlu sedar dan bangkit memberikan sokongan penuh kepada calon BN bagi membawa suara rakyat di Parlimen.

“Ini juga bagi memberikan isyarat jelas kepada kerajaan PH bahawa rakyat sudah penat dengan janji-janji manis kerajaan yang tidak dilaksanakan. Belum lagi sebut soal aset-aset negara yang dijual satu per satu. Ayuh bangkit anak-anak muda demi masa depan negara kita,” tegas beliau lagi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.