Banyak Sungguh ‘Projek Kebetulan’ Di Parlimen Tanjung Piai – Nizar

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Banyak sungguh secara kebetulan segala peruntukan kerajaan secara tiba-tiba ‘hadir’ di Parlimen Tanjung Piai.

Dan mungkin dalam sedikit masa pun apatah lagi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan akan turun mencurah-curah segala pengumuman projek-projek kerajaan di kawasan berkenaan.

Pelbagai alasan kedengaran termasuklah memenuhi permintaan yang hari ini memberikan seribu satu persoalan sejauh mana ketelusan mereka yang sebelum ini cukup lantang mempertikaikan perkara berkenaan sewaktu negara ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria, dulunya ketika PRK dan sebagainya merekalah (pembangkang ketika itu) yang menuduh dan membuat pelbagai dakwaan terhadap kerajaan pada waktu itu (BN).

“Sekarang dah jelas menerusi viral-viral yang dilontarkan oleh pelbagai pihak, mungkin ianya realiti atau pun kenyataan, banyak ‘ole-ole’ telah ditabur dan kita nak tengok apa peranan BERSIH khususnya apa yang mereka laungkan selama ini.

“Ke mana slogan-slogan sebelum ini seperti pilihan raya bersih dan mereka jangan ‘bias’lah dan kita nak tengok lagi sekali pada PRK Parlimen Tanjung Piai. Rakyat tengok perkara-perkara seumpama ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini baru-baru ini.

Pada masa yang sama beliau penuh yakin dan percaya rakyat khususnya pengundi-pengundi di Tanjung Piai dapat memerhati tindak-tanduk kerajaan hari ini terutama dalam tempoh mereka menerajui kerajaan.

“Rakyat dapat lihat kerajaan Pakatan Harapan bagaimana coraknya setelah mendapat mandat. Apa pun banyak juga kebetulannya dapat kita lihat di Tanjung Piai,” ujarnya.

Setelah pengumuman tarikh PRK Tanjung Piai yang ada diadakan pada 16 Nov nanti, berduyun-duyun pemimpin kerajaan mula memberi perhatian di kawasan tersebut.

Dilaporkan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun telah mengumumkan pemasangan 264 lampu jalan kampung di kampung-kampung dalam Parlimen Tanjung Piai serta geran berjumlah RM230,000 untuk Ketua-Ketua Kampung.

Manakala Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq pula berjanji untuk memenuhi ‘permintaan Allahyarham Farid’ dengan mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menaiktaraf kemudahan sukan di Tanjung Piai.

Dalam masa yang sama, Menteri Pertanian Salahuddin Ayub pula memberi peruntukan RM3 juta bagi menaiktaraf dan membina semula tiga jeti nelayan di Jeram Batu, Sungai Boh dan Pengkalan Penghulu dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.