Wee Jeck Seng Calon Tepat Untuk Misi ‘TP’ Tg Piai Tolak Pakatan Harapan – Ir Hasni

TANJUNG PIAI, 31 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata setelah mempertimbangkan pelbagai faktor BN yakin keputusan meletakkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai sebagai tepat.

Jelas beliau, pelbagai perbincangan telah diadakan dengan pusat mahupun di peringkat negeri untuk memastikan calon yang tepat dan berdedikasi.

Tambahnya kajian-kajian dan pelbagai perbincangan yang dilakukan itu adalah untuk memastikan segala hasrat, inspirasi dan cita-cita masyarakat Tanjung Piai boleh direalisasikan pada PRK kali ini.

“Setelah meneliti semua perkara dan aspek serta menterjemahkan segala kajian dari peringkat bawah. Maka dengan ini BN membuat keputusan bahawa Datuk Seri Wee Jeck Seng adalah calon yang sesuai sebagai calon BN.

“Berdasarkan sumbangan, dedikasi, rekod yang baik, ketokohan dan pengalaman yang ada. BN yakin bahawa Jeck Seng adalah calon yang terbaik.

“BN telah berjumpa dengan Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) bahawa tiada ‘sabotaj’ yang akan dilakukan, malah semua jentera bersemangat tinggi untuk memenangkan PRK ini,” katanya semasa sidang media di bilik gerakan BN Tanjung Piai, di sini, Rabu malam.

Ir Hasni menambah bahawa jentera BN menyedari kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini tidak dapat melaksanakan apa yang mereka janjikan selama ini.

Ujarnya lagi, Tanjung Piai ini juga membawa maksud ‘Tolak Pakatan Harapan.’

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menyatakan manifesto BN ini lebih kepada menerangkankan isu-isu kepada rakyat, keluh resah, permintaan dan rungutan rakyat terhadap pihak PH.

Turut hadir pada sidang media malam itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan,Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mohd Mazri Yahya, barisan kepimpinan UMNO, MCA, MIC dan PAS Johor.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.