Tidak Ada Masalah Calon Kitar Semula… PM Pun Banyak Kali – Annuar

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt – “Tidak ada masalah calon kitar semula sebab Perdana Menteripun kitar semula banyak kali,” ujar Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Jelas beliau, ia adalah sesuatu yang bagus untuk ‘kitar semula’ calon yang sememangnya layak, berpelajaran, diterima ramai dan anak tempatan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh media berkaitan calon kitar semula yang diketengahkan bukan sahaja oleh Barisan Nasional (BN) tetapi juga oleh Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Mengulas berkaitan ketidakpuasan hati akar umbi UMNO terhadap calon yang yang dipilih oleh BN jelas Annuar, itu adalah satu perkara biasa di kebanyakan pilihan raya.

“Perkara biasa bila ada jentera yang tidak berpuas hati berkaitan pemilihan calon. Kali ini saya memahami hasrat UMNO untuk nak calon UMNO tapi kita sudah berbincang secara panjang lebar dari banyak sudut dan akhirnya kita capai konsensus.

“Saya sendiri terlibat dengan perbincangan hingga ke akhir dan kita merasakan adalah penting dalam pilihan raya prinsip dan asas perjuangan parti mesti diutamakan.

“Setakat ini tidak ada masalah… saya sendiri ditugaskan berjumpa dan berunding dengan semua PDM (Pusat Daerah Mengundi), tidak ada masalah,” tegas beliau.

Semalam, BN mengumumkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon PRK Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal diadakan pada 16 Nov depan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.