Terima Kasih UMNO… Tg Piai Bukti Muafakat Nasional Tidak Pinggir Mana-mana Kaum – MCA

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pemilihan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai membuktikan piagam Muafakat Nasional tidak sama sekali meminggirkan mana-mana kaum ataupun agama.

Jelas beliau, ini juga adalah konsep sebenar apa yang diperjuangkan oleh BN dan menunjukkan bahawa BN adalah bersifat inklusif.

“Terima kasih UMNO dan juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berbesar hati walaupun menerima banyak tekanan. Ini menunjukkan kesetiakawanan demi perjuangan bersama.

“Jika sebelum ini ramai yang mempunyai pandangan yang berlainan terhadap Muafakat Nasional namun ia dibuktikan oleh rakan kita UMNO bahawa BN bersifat inklusif.

“Ini yang penting dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk. Hakikatnya adalah betul majoritinya Melayu (di Tanjung Piai) maka MCA menghargai sikap UMNO,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Wee, apa yang penting selepas ini adalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan apa juga konsep yang hendak ditonjolkan oleh BN, ia harus membuktikan BN sentiasa selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga mahu menunjukkan kesederhaan kita dalam masyakarat majmuk yang perlukan kepelbagaian. Bila Wee Jeck Seng dicalonkan ia menggambarkan apa juga persepsi salah dulu terhadap BN adalah tidak betul dan kita dapat membuktikan BN tidak meminggirkan mana-mana kaum.

“Inilah keisitimewaan yang ada dalam BN dan kita akan meneruskan semangat kebersamaan dan semangat yang diterap oleh BN ini akan diteruskan selamanya,” katanya.

Mengulas mengenai calon kitar semula pula, Wee berkata, itu adalah taktik musuh untuk melemahkan semangat lawan mereka.

“Kalau melihat dalam konteks pilihan raya, kalau seorang calon kalah tipis, masih bertenaga pada usia 55 tahun, saya rasa calon ini adalah dianggap berwibawa, masih bertenaga dan disokong oleh masyarakat setempat maka kenapa tidak kita calonkan semula… ini adalah taktik biasa yang digunakan oleh musuh untuk melemahkan semangat.

“Kit tidak gentar. Kalau macamtu, kalah sekali tak payah bertanding… (Lim) Kit Siang dan Karpal Singhpun pernah kalah sekali dan maknanya merekapun pernah dikitar semula,” tempelak beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.