PRK Tg Piai : Keputusan BN Letak MCA Sebagai Calon Tindakan Bijak – Ku Li

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan pemimpin MCA, Wee Jeck Seng sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Parlimen Tanjung Piai adalah satu keputusan yang bijak untuk masa depan negara, tegas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, YBM Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, beliau menyokong 100 peratus calon BN kerana ini adalah satu keputusan yang dianggap bijak demi memikirkan masa depan dan nasib negara.

“Keputusan kepimpinan yang dicapai untuk PRK Tanjung Piai itu merupakan satu keputusan yang baik mengambil kira juga pergolakan politik tanah air sekarang ini.

“Ini nampaknya membuka peluang baru untuk masa depan rakyat kita, syabas saya ucapkan kepada pimpinan kita dalam UMNO, MCA, MIC dan PAS. Saya rasa kita boleh bekerjasama dengan kuat dan erat untuk menjamin kejayaan kita dalam PRK ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, melihat kepada komposisi kaum di kawasan Tanjung Piai, beliau beranggapan bahawa calon terbabit dapat disesuaikan dengan keadaan setempat.

“Tiap pilihan raya kita kena bekerja keras dan kita semua kena ikhlas antara kita dengan pengundi… tak boleh kita nak main silap mata dan menipu atau sebagainya.

“Kita kena jelaskan kedudukan yang sebenar, rakyat kita bukan bodoh… rakyat kita cerdik… kita kena beri keyakinan kepada rakyat bahawa BN masa depan yang baik dan kita tidak pernah menghampakan rakyat.”

Mengulas berkaitan Tanjung Piai sebagai PRK yang pertama sejak Muafakat Nasional dimetrai, beliau berkeyakinan bahawa ia akan memberi gambaran baru kepada rakyat.

“Ini menjadi kehadiran kita pertama kali bersama dan sudah tentu ia akan melukiskan gambaran baru kepada rakyat seluruh Malaysia bahawasanya apa yang disangka-sangka itu tidak sebagaimana yang difikirkan kerana kita boleh menjelma sebagai satu gandingan yang kuat dan baik untuk rakyat seluruhnya.

“Kita mencari satu masa depan yang lebih baik, tidaklah dengan keadaan ekonomi yang tak menentu, bahkan meleset dan keadaan politik yang menimbulkan banyak keraguan dan kebimbangan di kalangan rakyat,” bidas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal daiadakan pada 16 Nov depan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada Sept lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.