PRK Tanjung Piai: Tidak Timbul Isu Boikot Memboikot – Ismail Sabri

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt – “Tidak timbul isu boikot memboikot,” tegas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kononnya UMNO Johor memboikot majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai semalam.

“Tidak ada isu boikot memboikot. Saya pernah cakap sebelum ini pengumuman calon tidak dibuat secara besar-besaran. Masa pelancaran jentera semua ada termasuk friends of BN. Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dan Ketua UMNO Bahagian (Tanjung Piai) juga sudah panggil jentera untuk mula bekerja,” jelas beliau.

Selain itu tambah Ismail, pencalonan wakil MCA sebagai calon BN di PRK tersebut juga sekaligus menolak tuduhan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan PAS meminggirkan kaum lain.

“Saya pernah sebut sebelum ini piagam yang kita tandatangani antara UMNO dan PAS secara jelas menerangkan bahawa ia akan menjaga kepentingan kaum dan agama lain dalam negara ini.

“Jadi, bila MCA dicalonkan di Tanjung Piai, ia jelas menunjukkan Muafakat Nasional itu selain memperkukuhkan hubungan Melayu dan Islam tetapi juga adalah menjaga kepentingan kaum lain. Sebab itu kita tidak pinggirkan MCA dalam isu ini walaupun peringkat awal orang ramai mengatakan UMNO akan bertanding tapi akhirnya MCA juga bertanding,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.