PRK Tanjung Piai : Lawan Tetap Lawan – Jeck Seng

TANJUNG PIAI, 31 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menghargai jasa yang diberikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Jelas beliau, peluang dan mandat yang diberikan tidak akan dipersiakan untuk membawa perubahan dan membawa suara rakyat Tanjung Piai ke Parlimen.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Zahid Hamidi, Ka Siong, Vigneswaran dan semua rakan-rakan kerana telah memberi peluang dan mandat dalam misi pada PRK ini.

“Saya berjanji akan berkerja keras dan saya amat tahu bahawa Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan adalah seorang yang sangat mesra, prihatin dan sentiasa memberikan kerjasama sebagai satu pasukan untuk membentuk dan memenangi PRK ini,” katanya di sini, Rabu malam.

Justeru beliau mengharapkan komitmen dari BN serta rakan-rakan yang lain diberikan sepanjang PRK ini.

“Lawan tetap lawan,” ujarnya.

Turut hadir pada pengumuman calon PRK Tanjung Piai malam tadi ialah Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mohd Mazri Yahya, barisan kepimpinan UMNO, MCA, MIC dan PAS Johor.

Jeck Seng merupakan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sejak 2008, namun beliau tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pada PRK Tanjung Piai ini, selain Jeck Seng calon BN, Pakatan Harapan (PH) telah memilih Ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini manakala dari Gerakan telah memilih Naib Ketua Wanita Nasional, Wendy Subramaniam.

Penamaan calon akan berlangsung di Dewan Jubli Intan, Pontian pada 2 Nov ini manakala hari pengundian pada 16 Nov. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.