PAS Yakin Calon BN, Formula Terbaik Politik Matang Yang Tidak Melampau – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan berkata parti itu setuju dengan calon yang dikemukakan Barisan Nasional (BN), Datuk  Seri Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang diumumkan semalam.

“Saya dengan ini mengesahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, bersetuju dengan calon yang dikemukakan sebagai calon mewakili BN dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti, iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA.

“PAS yakin pemilihan calon tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat di Parlimen Tanjung Piai sendiri yang diharap menjadi formula terbaik untuk meraih undi bagi menguatkan suara pembangkang di peringkat nasional, seterusnya membawa pendekatan politik matang yang tidak melampau,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Takiyudin seterusnya menambah sokongan ini juga adalah selaras dengan persefahaman yang dipersetujui dalam Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS yang ditandatangani pada 14 September 2019 yang lalu.

PAS juga katanya lagi akan menghantar wakil-wakilnya dari kalangan pimpinan kanan parti untuk menghadiri penamaan calon pada 2 November 2019 sebagai sokongan kepada calon Pembangkang.- UMNO-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.