Muafakat Nasional Bentuk Masa Depan Negara Mengikut Acuan Malaysia Yang Asal – Asyraf

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng daripada MCA  untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini  jelas memperlihatkan UMNO masih mempertahankan semangat permuafakatan BN dan komited untuk merealisasikan agenda Muafakat Nasional bagi mengembalikan Malaysia mengikut acuannya yang asal.

Menurut beliau dengan perkembangan tersebut Tanjung Piai bakal menjadi saksi kepada pembentukan sebuah Muafakat Nasional yang utuh demi Malaysia tercinta.

“Dari semalam saya perhatikan penyokong-penyokong PPBM dan Pakatan Harapan (PH) memainkan isu berbaur perkauman kerana UMNO dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi kelmarin sebulat suara bersetuju meletakkan calon BN daripada parti komponen MCA dari kalangan kaum Tionghua.

“Makin jelas ketara siapa sebenarnya yang rasis dan chauvinis selama ini yang kononnya berjuang atas nama Malaysia Baharu,” katanya menerusi facebook, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi yang pasti Muafakat Nasional adalah manifestasi semangat penyatuan ummah yang bersifat inklusif merentasi Agama dan Kaum.

Malah ujarnya lagi Muafakat Nasional juga adalah suatu komitmen BN yang dinakhodai UMNO dan Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS untuk membina semula Malaysia yang dirosakkan akarnya oleh DAP-PH dengan memperteguhkan kembali sifat keindukan islam dan Bumiputera-Melayu dalam realiti kemajmukan agama dan kaum yang menjadi acuan asal Malaysia yang gemilang.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.