Calon MCA : Dap Gagal Takutkan Rakyat Bukan Melayu Kepada Muafakat Nasional – Adnan

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai daripada MCA 16 November ini bukan sahaja menggagalkan usaha Dap menakut-nakutkan rakyat bukan Melayu kepada Muafakat Nasional, malah ianya akan memulakan gelombang penolakan rakyat besar-besaran oleh semua kaum di atas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Peguambela dan Peguamcara, Adnan Seman berkata bermula dengan Perpaduan Ummah UMNO dan PAS, kini gabungan itu dibawa kepada agenda yang lebih besar dengan mencetuskan Muafakat Nasional yang bersifat inklusif kepada semua kaum dalam kerangka kontrak sosial berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

“Allah takdirkan berlaku PRK Tg Piai setelah Muafakat Nasional ini dibentuk dan ianya menjadi pentas ujian untuk Muafakat Nasional sepertimana ujian ke atas Perpaduan Ummah.

“Sejak dari awal lagi apabila Perpaduan Ummah dicetuskan, pemimpin PH terutamanya Dap cuba membawa naratif politik bahawa Perpaduan Ummah adalah Taliban, Rasis dan Ancaman kepada bukan Islam. Berbeza dengan Dap, MCA menyambut baik gabungan dan Perpaduan Ummah antara UMNO dan PAS.

“PRK Tanjung Piai adalah amat penting untuk rakyat menyampaikan satu mesej jelas bahawa bukan sahaja rakyat berbangsa Melayu kini menolak kerajaan pincang Pakatan Harapan tetapi rakyat kaum Cina dan India serta kaum-kaum  lain akan menolak PH bukan sahaja di PRK ini tetapi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya menerusi kenyataan di facebook, di sini, hari ini.

Katanya lagi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, sebagai pemimpin akar umbi parti, tentunya mahukan calon UMNO bertanding di Tanjung Piai namun percaya percaya pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional melihat kepada agenda yg lebih besar.

“Saya amat yakin pengundi-pengundi Melayu di Tanjung Piai terutamanya ahli-ahli UMNO kawasan terbabit cukup faham dan sedar betapa pentingnya memenangkan BN di PRK Tanjung Piai bagi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu memenangi PRU-15 dan meletakkan kembali UMNO bersama PAS, MCA, MIC, GPS dan semua parti komponen Muafakat Nasional sebagai kerajaan Pusat di Putrajaya.

“Matlamat besar itu adalah lebih utama kerana kita tidak boleh terus membiarkan kerajaan hari ini terus melakukan kerosakan kepada ekonomi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.