Calon MCA Cerminan BN Parti Inklusif, Muafakat Pragmatik Untuk Rakyat Berbilang Kaum

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidhirah Datuk Seri Abu Zahar menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai satu pilihan yang bijak selari dengan konsep Muafakat Nasional dan Perpaduan Ummah yang dimeterai September lalu.

Jelasnya ramai sebenarnya yang masih skeptikal dengan Muafakat Nasional dan Perpaduan Ummah yang melibatkan blok pembangkang dengan memberi gambaran kemuafakatan ini adalah rasis, jumud dan terkebelakang.

Namun pada kali ini tegas beliau  tuduhan itu ‘gagal’ memesongkan rakyat kerana BN telah meletakkan calon MCA bagi mewakili BN di PRK Tanjung Piai.

Malah tambahnya PAS melalui kenyataan media mereka juga turut bersetuju dan menyokong Wee Jeck Seng, dan dengan besar hati jua akan membantu kemenangan BN.

“Ini adalah perjuangan yang sebenar-benarnya Muafakat Nasional dan Barisan Nasional yang sentiasa mengutamakan anjakan paradigm negara dengan meraikan kepelbagaian dan kesaksamaan dalam politik.

“Kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan adalah satu payung kemuafakatan yang diperjuangkan berteraskan falsafah suara rakyat yang harus didahulukan walau apa jua keadaan sekali pun.

“Inilah muafakat yang pragmatik, sesuai dengan keperluan rakyat berbilang kaum di Tanjung Piai dan negara ini amnya”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Manakala strategik Bersatu meletak calon Melayu pula jelas Khaidhirah adalah satu strategik yang mudah dijangka kerana pasti Bersatu akan mencuba pelbagai daya usaha mereka untuk menarik sokongan Melayu pada mereka yang kian terhakis.

“Sebaliknya saya percaya masyarakat Melayu di Tanjung Piai tidak mudah terpengaruh dengan ‘political-tricky’ Bersatu dan Pakatan Harapan yang mahu memastikan mereka terus berkuasa dengan menyebarkan penipuan dan pendustaan pada rakyat.

“Saya menyeru kepada seluruh penyokong, ahli UMNO, dan juga semua yang terbabit untuk menyokong Wee Jeck Seng dan membawa semangat jiwa besar ini untuk menumpaskan Pakatan Harapan” , ujarnya.

Justeri beliau mengajak semua pihak untuk menjadikan PRK kali ini, sebagai satu manifestasi suara rakyat yang menentang kerajaan yang gagal memulih ekonomi rakyat kerana kedangkalan minda mereka sendiri. –UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.