Calon BN PRK Tg Piai Bukti Penyatuan Ummah, Muafakat Nasional Untuk Semua – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah satu mesej bahawa penyatuan ummah dan hasrat Muafakat Nasional tidak pernah mengenepikan agama dan bangsa lain.

Jelas beliau, inilah agenda besar yang mahu diterjemahkan dalam melaksanakan semangat kebersamaan.

“Kita telah berjanji bahawa semangat kebersamaan sebagai sebuah negara Malaysia kerana kita tidak pernah mengenepikan agama dan bangsa lain. Maka semangat memberi keutamaan ke arah itu adalah disebabkan kita mahu menghantar satu mesej yang kuat bahawa BN melalui Muafakat Nasional tidak akan pernah mengenepikan agama dan bangsa lain.

“Ini dibuktikan dalam suasana yang agak kritikal pada peringkat awal di Tanjung Piai dan ia menunjukkan kami ikhlas dalam melaksanakan kebersamaan dan mengambil kira terhadap agama dan bangsa lain di negara ini,” ujar beliau kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Zahid, keputusan muktamad yang telah dibuat oleh BN berkaitan calon PRK Tanjung Piai adalah hasil daripada perbincangan di semua peringkat.

“Walaupun sentimen awal terlalu kuat untuk calon UMNO diletakkan mewakili BN tetapi hakikatnya semangat Muafakat Nasional bersama parti-parti komponen BN harus diberi keutamaan.

“Atas rasa kebersamaan itulah jentera semua parti telah bergerak ke satu arah iaitu memberikan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

“Kita juga telah melakukan mesyuarat koordinasi dan sentimen tersebut sudah reda dan semua jentera akan bekerja untuk memenangkan calon BN, soal bangsa dan agama tidak timbul dalam soal ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.