Pekebun, Peneroka Pula Jadi Mangsa… PH Terus Bawa Kerosakan


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin jika India memboikot minyak sawit negara, rakyat akan terkesan dengan teruk sekali terutamanya lebih 600,000 pekebun kecil sawit dan 100,000 peneroka FELDA yang kini berpendapatan sangat rendah.

Ismail menimbulkan persoalan apa yang akan berlaku kepada pendapatan golongan terbabit, adakah menyusut teruk kepada RM100 atau RM50 sebulan yang mana ia jelas merupakan satu penganiayaan kepada rakyat jika tsunami sekatan sawit India itu benar-benar belaku.

“Ancaman dari India adalah realiti. Walaupun kerajaan mereka masih belum buat keputusan, ancaman itu cukup untuk membuatkan pembeli CPO (Minyak Sawit Mentah) India akan beralih kepada Indonesia.

“Tiada apa lagi yang rakyat boleh harapkan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana PH terus menerus membawa kerosakan kepada Malaysia.

“Elok benarlah dibubarkan sahaja parlimen,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar itu juga merasa terkesan dengan nasib yang menimpa 762,635 pekebun kecil dan peneroka sawit yang jelas makin terancam sejak PH memerintah di mana segalanya menjadi semakin memburuk dari hari ke hari.

“Pada penghujung 2018, sawit mengalami penurunan drastik hingga ratusan ribu pekebun kecil terjejas. Dahulu pendapatan purata peneroka sawit cecah RM1500 – RM2000. Kini jatuh mendadak! Cuma tinggal hanya RM300 sahaja sebulan.

“Terbaru, industri sawit Malaysia menerima episod lebih malang apabila pelbagai laporan media dalam dan luar negara menyentuh mengenai ancaman Kerajaan India untuk memboikot kelapa sawit negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Naib Presiden UMNO itu menimbulkan persoalan mengapa perkara tersebut boleh berlaku dan apa sudah jadi pada Malaysia hari ini di bawah pentadbiran PH.

“Saya simpulkan ia adalah kerana salah PH itu sendiri, dengan lemahnya dan tidak mahir dalam mengurus serta gelojoh untuk mencipta nama politik peribadi hingga mengorbankan rakyat.

“Perdana Menteri dengan jelas cuai, tidak cermat dan langsung tidak teliti apabila mencampuri konflik pembebasan Kashmir antara India dan Pakistan di Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat.

“Sebagai Perdana Menteri, beliau mesti ada sikap tanggungjawab kepada rakyat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan sesuatu konflik antara negara lain yang akhirnya melibatkan periuk nasi rakyat negara sendiri,” bidasnya lagi.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) telah meletakkan Malaysia antara negara pengeksport minyak sawit terbesar dunia dengan menguasai lebih 30 peratus pasaran eksport dunia tetapi tidak lagi kini di bawah PH.

“Ia adalah pencapaian selari dengan falsafah kerja BN untuk membantu pekebun kecil dan peneroka sawit.

“Kini bukan sahaja harga sawit jatuh teruk, tetapi industri sawit Malaysia ‘berada di ambang maut’ kerana pengimport sawit terbesar dunia iaitu India sudah tidak berminat untuk membeli komoditi sawit kita lagi,” ujarnya.

Tambahnya juga, kini tidak kelihatan Menteri Industri Utama, Teresa Kok atau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah ‘genius’ dan efektif, sejak harga minyak sawit mula jatuh mendadak pada Mei 2018.

“Yang ada hanya kempen Sayangi Sawitku yang tidak masuk akal dengan membazirkan wang rakyat untuk mencetak ‘banner’, ‘bunting’, ‘pamplet’ dan sebagainya.
“Itu tidak termasuk Teresa Kok menghabiskan banyak wang rakyat melancong ke negara yang tidak perlu, seperti melawat safari di Afrika sedangkan Malaysia menghadapi kekangan besar industri sawit di India dan Eropah,” katanya.

Hasil semakannya juga, Ismail mendapati kejatuhan harga CPO sebanyak 17 peratus dan harga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 24 peratus sejak PH memerintah.

“Ini satu rekod yang menyedihkan buat pekebun kecil dan negara amnya kerana kerajaan gagal melonjakkan statistik eksport yang positif, tidak selari dengan kata-kata mereka kononnya PH itu lebih baik dari BN,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE