Kursus Asas Mobilisasi Pahang 1st Perkukuh Kesiapsiagaan, Keupayaan Jentera – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kursus Asas Mobilisasi Pahang 1st penting dalam usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti.
Berkongsi di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO telah merasmikan kursus tersebut bagi Bahagian Raub dan Bera pada Jumaat petang, di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik.

“Kursus ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan jentera parti melalui pembentukan disiplin, semangat kerja berpasukan, kepimpinan serta kemahiran mobilisasi yang lebih tersusun dan berkesan.
“Saya percaya pendedahan dan latihan yang diberikan sepanjang kursus ini akan menjadi nilai tambah kepada para peserta dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab di peringkat bahagian dan akar umbi,” kata Menteri Besar Pahang itu.

Hadir sama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Ab Hamid Nazahar dan Ketua UMNO Bahagian Raub Datuk Aziz Mat Kiram.
Seterusnya, Wan Rosdy berharap agar ilmu, pengalaman dan semangat yang diperoleh kelak dapat dimanfaatkan sebaiknya demi memperkukuhkan perjuangan serta memastikan gerak kerja yang lebih mantap dan berkesan pada masa hadapan.
Terdahulu, dalam platform media sosial yang sama, Wan Rosdy turut memaklumkan telah diadakan pertemuan tertutup bersama kepimpinan tertinggi UMNO Negeri Pahang.
“Insya-Allah. Segala perbincangan dan keputusan hari ini semata-mata untuk kebaikan UMNO dan juga rakyat di negeri Pahang,” ujarnya. – UMNO ONLINE
