Kuasai Medan Digital, Pantas Perbetul Persepsi Tidak Tepat
KUALA LUMPUR, 6 Jun – UMNO mesti lebih kuat dan menguasai medan digital serta bertindak secara pantas untuk memperbetulkan persepsi tidak tepat.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, dunia digital menjadi cabaran terbesar kepada parti untuk menangkis berita tidak benar mahupun persepsi yang dicipta oleh pihak lawan.

“Cabaran UMNO kini menjadi lebih besar dalam dunia digital. Dahulu, jika timbul sesuatu isu politik, ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk tersebar. Namun hari ini, satu video pendek, tajuk berita, potongan ucapan atau komen yang bersifat emosi boleh tersebar dalam beberapa minit sahaja.
“Ramai yang tidak sempat membaca penjelasan penuh, tetapi sudah membentuk pandangan berdasarkan kandungan yang tular. Ramai juga yang tidak sempat menyemak fakta, namun terus membuat kesimpulan.
“Pada masa yang sama, ruang perbincangan politik bukan lagi terhad di kedai kopi atau pentas ceramah. Perbincangan kini berlaku secara terbuka di Facebook, TikTok melalui siaran langsung, WhatsApp, podcast dan juga Threads.
“Ada kalanya sesuatu isu bermula dengan komen biasa, tetapi akhirnya menjadi panjang dan berlarutan kerana ada pihak yang sengaja membakar sentimen. Jika kita tidak hadir untuk memberikan penjelasan, pihak lain akan mengisi ruang tersebut dengan naratif mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Sayap-Sayap UMNO Bahagian Sungai Besar pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kehadiran kecerdasan buatan (AI) mengeruhkan lagi keadaan apabila pelbagai perkara boleh dimanipulasi sewenang-wenangnya.
“Lebih mencabar, kita kini hidup dalam era AI. Hari ini gambar boleh dimanipulasi, suara boleh ditiru manakala video boleh dipotong, disunting dan disebarkan dengan naratif yang berbeza daripada konteks asal.
“Sesuatu perkara yang tidak benar sekalipun, jika diulang berkali-kali di media sosial, boleh kelihatan seolah-olah benar. Keadaan ini menjadi cabaran besar kepada UMNO kerana selain berdepan pelbagai tempias, fitnah digital dan persepsi palsu boleh menjadikan keadaan lebih sukar. Nasib baik juga di UMNO Sungai Besar ini ada ‘abang lawyer’, Datuk Imran Tamrin, yang boleh membantu apabila diperlukan.
“Oleh sebab itu, UMNO mesti menjadi lebih kuat di medan digital. Kita perlu bertindak pantas dalam memberikan penjelasan, berani membetulkan persepsi tidak tepat dan mempunyai pasukan yang mampu menjawab setiap isu dengan fakta, menggunakan bahasa mudah difahami, nada matang dan pendekatan yang dapat sampai kepada rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO perlu berada di barisan hadapan dalam menguasai teknologi baharu tersebut.
“Di sinilah peranan Wanita, Pemuda dan Puteri menjadi sangat penting. Pemuda dan Puteri perlu berada di barisan hadapan dalam memahami rentak media sosial seperti Threads, TikTok, Facebook dan perkembangan AI. Mereka perlu membantu parti menjelaskan isu dengan cepat, kreatif dan tepat.
“Wanita pula mempunyai kekuatan yang besar melalui jaringan WhatsApp, komuniti keluarga dan akar umbi. Kadangkala satu mesej dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan lebih berpengaruh daripada satu kenyataan media.
“Oleh itu, apabila timbul fitnah, ia perlu diperbetulkan. Apabila berlaku kekeliruan, ia perlu dijelaskan. Apabila rakyat berasa marah, mereka perlu didekati dan ditenangkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa UMNO akan tetap berjuang demi rakyat meskipun dihujani pelbagai cabaran.
“Perjuangan UMNO hari ini bukan sahaja berlaku di lapangan, tetapi juga dalam mengurus persepsi. Kita perlu turun dari rumah ke rumah dan pada masa yang sama hadir dalam telefon pintar rakyat.
“Kita perlu menyantuni pengundi secara fizikal, sambil menjawab kekeliruan mereka secara digital. Jika kita lambat bertindak, orang lain akan membentuk cerita tentang kita. Jika kita berdiam diri, persepsi buruk boleh bertukar menjadi keyakinan. Jika kita tidak hadir, ruang tersebut akan diisi oleh pihak lawan.
“Sebab itulah saya mahu kita semua memahami bahawa dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, UMNO mesti lebih bijak membawa diri. Kita perlu jelas dengan pendirian kita, tegas mempertahankan prinsip, cepat mendekati rakyat dan berani menjelaskan bahawa UMNO tetap mempunyai suara, maruah serta tanggungjawab.
Walau apa pun cabaran, tempias dan persepsi yang wujud dalam suasana politik hari ini, UMNO akan terus berjuang untuk rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
