Wanita Tunjang Kekuatan, Kesepaduan BN Penting Hadapi PRN – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengiktiraf peranan Wanita UMNO sebagai tunjang kekuatan parti.
“Wanita merupakan antara tunjang utama kekuatan parti yang sentiasa memainkan peranan penting dalam mendekati rakyat, menggerakkan organisasi dan memperkukuhkan perjuangan di setiap peringkat,” kata Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perkongsian di laman sosialnya itu, Mohamed Khaled hari ini merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang 2026 serta melancarkan jentera PR10 Pasir Gudang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Muafakat Taman Nusa Damai, Pasir Gudang.
Seterusnya kata Mohamed Khaled, kesepaduan UMNO bersama MIC dan MCA dalam Barisan Nasional (BN) turut menjadi kekuatan penting dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, mengekalkan kestabilan serta memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.
“Dalam menghadapi PRN Johor yang akan datang, kesiapsiagaan serta kesatuan jentera di seluruh Bahagian Pasir Gudang perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan gerak kerja yang lebih tersusun, berfokus dan berkesan dalam mendekati rakyat.

“Dengan kekuatan Wanita UMNO serta kesatuan seluruh jentera parti, usaha mendekati dan membela rakyat akan terus diperkasakan,” ujarnya lagi.
Terkini di Facebooknya juga, Mohamed Khaled menghadiri Program Prihatin Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kementerian Pertahanan dan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Zakat Yayasan ATM di Kampung Singapura, Kota Tinggi.
Ujarnya, kesejahteraan veteran terus menjadi antara teras utama Kementerian Pertahanan.
“Sebagai memenuhi tanggungjawab moral menghargai jasa dan pengorbanan mereka, kerajaan memperuntukkan RM303.3 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM tahun ini, dengan sebahagian besar disalurkan bagi agenda kebajikan dan kesejahteraan veteran.
“Kerajaan juga terus membantu anggota yang bersara mendapatkan pekerjaan kedua. Melalui kerjasama dengan pelbagai kementerian dan industri, termasuk Kementerian Pengangkutan, sebanyak 3,200 peluang pekerjaan ditawarkan setiap tahun kepada bakal pesara ATM dengan gaji bermula RM4,000 ke atas, selain pencen yang diterima,” katanya.

Selain itu jelasnya, kerajaan turut memperkukuh kemudahan kesihatan, perumahan, pendidikan anak-anak veteran serta program peningkatan kemahiran.
“Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan sedang menyediakan cadangan bagi mengurangkan jurang pencen antara veteran yang bersara sebelum dan selepas tahun 2013,” katanya.
Seterusnya, Mohamed Khaled juga berkongsi mengenai cabaran keselamatan semasa yang semakin kompleks, termasuk ketidaktentuan geopolitik, krisis tenaga global serta perubahan bentuk peperangan yang tidak lagi terhad kepada konflik ketenteraan konvensional.
“Ancaman kini turut melibatkan serangan terhadap infrastruktur kritikal, perang maklumat dan manipulasi persepsi. Sebab itu konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dan pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WOGOS) perlu terus diperkukuh agar seluruh masyarakat memainkan peranan dalam mempertahankan negara,” katanya.
Mohamed Khaled selanjutnya berkata, Veteran ATM akan terus menjadi aset penting negara dalam memperkukuh semangat patriotisme serta membantu menyemai kesedaran tentang pentingnya keamanan, kestabilan dan kedaulatan tanah air. – UMNO ONLINE
