PRN: UMNO Negeri Sembilan Cadang BN Tanding Semua 36 DUN

SEREMBAN, 6 Jun – UMNO Negeri Sembilan mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) turut bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata bagi kerusi yang tidak ditandingi pada PRN 2023, BN perlu mengetengahkan calon muka baharu yang berpengalaman yang dipilih selepas melalui penilaian dan pertimbangan sewajarnya termasuk calon wanita.

Beliau berkata, selain UMNO, calon juga boleh dipilih daripada MCA dan MIC.

“Senarai calon kini hampir selesai sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada minggu depan untuk dimuktamadkan.

“Proses semakan akhir sedang dilakukan dengan mengekalkan hampir 95 ke 97 peratus calon lama di samping membuat penambahan muka baharu,” katanya ketika dihubungi BERNAMA, di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Khamis lalu mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN.

PRN ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan politik PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, diikuti BN (14), manakala Perikatan Nasional (lima).

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN pada Khamis lalu, sekali gus memberi laluan kepada PRN, selepas Johor yang berbuat demikian pada Isnin (1 Jun). – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO