Kerajaan Tidak ‘Minat’ Tunai Janji Pendidikan Percuma – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah melihat penghapusan insentif pengecualian bayaran balik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Percuma (PTPTN) jelas menujukkan ketidakseriusan kerajaan untuk menunaikan janji pendidikan pecuma sedangkan pengecualian bayaran balik sebenarnya sudah memenuhi konsep pendidikan percuma.

Pada masa yang sama beliau turut berpandangan kerajaan memingirkan golongan mahasiswa apabila tidak mendapat tempat pada pembentangan Bajet 2020 setelah tidak ada peruntukan ataupun inisitif terhadap golongan berkenaan sama ada dalam bentuk bantuan pelajar pendidikan tinggi, kad siswa mahupun bantuan-bantuan dalam bentuk baucer buku dan sebagainya.

“Nampaknya dalam belanjawan sebelum ini dan belanjawan kedua ini nampak sangat anak-anak muda di universiti tidak diberikan perhatian apabila mahasiswa terus dipinggirkan daripada memperolehi bantuan pendidikan.

“Ini kita nampak kecil tetapi ianya memberi kesan besar kepada mahasiswa dan ini bukti bahawa tidak ada komitmen yang bersungguh-sungguh daripada kerajaan untuk membantu golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2020, di Dewan Rakyat, semalam.

Tegas Shamsul Anuar yang sebelum ini merupakan mantan Pengerusi PTPTN, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini apabila setiap kali belanjawan, antara perhatian utama kerajaan pada waktu itu ialah soal PTPTN kerana ini penting untuk pendemokrasian negara demi masa depan pendidikan negara namun malangnya langsung tidak disentuh oleh kerajaan hari ini.

“Saya percaya dan saya rasa antara sebab kerajaan tidak menyentuhnya di dalam bajet kerana mereka sudah kehabiasan idea. Tidak ada idea baru sebab apa… kalau kita lihat Pengerusi PTPPTN … beliau begitu bangga mengadakan kertas konsultansi rakyat kononnya nak mendapat pandangan pakar, pihak yang berkepentingan daripada pakar-pakar ekonomi untuk mengemukakannya pada bulan April tahun ini.

“Tetapi sampai sekarang tidak dikemukakan. Mana idea bernas… mana kehebatan-kehebatan yang yang sebelum ini ramai ditunjukkan oleh tokoh-tokoh kerajaan yang bercakap soal PTPTN. Sehingga ke hari ini tidak ada satu polisi atau dasar baru pun dikemukakan oleh kerajaan PH oleh pengerusi baru, menteri melainkan melaksanakan apa yang dibuat oleh kerajaan terdahulu… malah apa yang dibuat itu lebih lemah daripada apa yang kita buat,” tambahnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO turut membangkitkan soal kutipan balik PTPTN yang hari ini jauh lebih rendah apabila pada bulan Oktober 2019 hanya RM1.3 bilion sahaja yang dikutip sedangkan ketika kerajaan sebelum ini, ianya sudah mencecah angka RM3 bilion.

“Malah mereka hanya meletakkan sasaran sebanyak RM2 bilion dan ini jauh daripada angka sebenarnya. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan hari ini melaksanakan polisi-polisi baru untuk meningkatkan kualiti dan perkhidmatan PTPTN kepada negara.

“Hari ini nampaknya jika kutipan balik semakin kurang maka kewangan PTPTN tidak dapat berjalan dengan baik. Antara punca kenapa kutipan balik rendah… kesan yang dibuat oleh polisi-polisi kerajaan hari ini dan bukan hanya kesan daripada tindakan PTPTN itu sendiri.

“Apabila kerajaan tidak berjaya untuk mengembangkan ekonomi maka peluang-peluang perniagaan tidak berlaku dengan baik kerana sebahagian besar juga peminjam terdiri daripada mereka yang berniaga, bekerja di sektor awam… sektor awam tidak dapat insentif, kenaikan gaji tidak ada, tidak ada lagi insentif 10 peratus… 20 peratus dan sebagainya. Itu menyebabkan kuasa peminjam untuk membayar balik pinjaman semakin rendah, sebab itu ia mesti diberi perhatian yang serius oleh kerajaan,” ujarnya.

Pada perbahasannya itu juga beliau turut membangkitkan soal pemberian sarapan pagi percuma kepada 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara namun ianya tidak ada dinyatakan di dalam ucapan bajet menteri kewangan.

“Cadangan saranan ini mendapat sambutan yang begitu hangat daripada rakyat pelbagai pihak dan kita pun menyokong. Malangnya tidak ada satu pun peruntukan program sarapan percuma dinyatakan dalam ucapan bajet menteri kewangan.

“Adakah ini juga seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan … penjualan rumah tidak dibincangkan menteri. Apakah ini juga tidak ada perbincangan … maknanya rangka belanjawan ini hanya semata-mata dibuat oleh Bagan tanpa berbincang dengan kementerian-kementerian yang berkaitan. Ini satu bukti,” bidas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.