Beri Tumpuan Perpaduan UMNO

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Ahli-ahli UMNO perlu mengekal dan mengutamakan disiplin di dalam parti bagi mengelakkan pertelagahan sesama sendiri yang berterusan sehingga boleh memecahkan perpaduan di dalam parti.

Ahli Exco Wanita UMNO, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ahli parti bebas untuk menyatakan pendapat dan berhujah namun disiplin parti adalah perlu dikekalkan jika tidak UMNO hanya akan menjadi sebuah parti yang ahlinya berkelahi sesama sendiri tanpa henti.

“Menjadi kebiasaan untuk ahli-ahli parti yang berbeza pandangan dan pendapat. Selagi kita boleh bermusyawarah dan bertukar idea masing-masing secara konstruktif dan bukannya dengan cara yang destruktif, tanpa melabel orang atau mengata, saya percaya kita boleh menyelesaikan apa jua masalah pendapat yang bercanggah.

“Namun, disiplin parti perlu dikekalkan pada setiap masa kerana jika tidak melakukannya kita akan hanya mempunyai parti yang berkelahi sama sendiri tanpa henti dan tanpa kata putus. Sebaik sahaja sesuatu hala tuju telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti dan dipersetujui, maka adalah tugas semua anggota parti untuk mematuhi keputusan yang dibuat, menghormatinya dan menumpukan perhatian untuk merealisasikannya,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa UMNO mengenakan tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli yang tidak lagi sehaluan dengan parti selain menegaskan disiplin parti perlu diperkuatkan ditambah ketika UMNO kini bekerjasama dengan Pas.

Sementara itu, Wan Norashikin menegaskan, pihak-pihak yang mahu cuba ‘memesongkan’ UMNO ke arah lain ataupun cuba meminta ahli mengikuti pemimpin dari luar yang bukan dalam kalangan parti hanya akan mengelirukan ahli selain tidak membawa sebarang faedah kepada UMNO.

“Lebih baik ahli memberi tumpuan kepada perpaduan parti daripada cuba memecahkannya dan menawarkan sokongan ahli parti kepada pihak luar yang mungkin hanya mempunyai agenda sendiri, jangan buang masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.