Tulisan Jawi: Jangan Tunduk Desakan

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kementerian Pendidikan dituntut untuk tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang membantah keputusan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah tahun depan.

Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan menyifatkan, tindakan tersebut dibuat atas nama kepentingan politik semata-mata.

Selain itu, tegasnya bantahan sedemikin rupa boleh menggugat kewibawaan bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Menggunakan sentimen politik tanpa kewarasan akan menghalang usaha memupuk perpaduan dan intergrasi nasional melalui wadah pendidikan.

“Justeru, iGuru menggesa pihak Kementerian Pendidikan tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan untuk melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.