Wan Rosdy Ketuai Misi Perdagangan Ke Singapura

KUANTAN 31 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai misi perdagangan kerajaan negeri ke Singapura selama dua hari bermula esok.
Kunjungan itu sempena Forum Pelaburan Pahang 2019 (PIF 2019) yang diadakan di sebuah hotel terkemuka dan dijangka dihadiri lebih 150 peserta termasuk dalam kalangan syarikat-syarikat serta syarikat multinasional yang berpejabat di negara republik itu.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar, PIF 2019 ialah anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura (SMF).

Kata kenyataan berkenaan, pada hari pertama PIF 2019, Wan Rosdy dijangka menyampaikan ucaptama yang antara lain menyentuh tentang tarikan-tarikan menarik bagi pelabur untuk melabur ke negeri ini.

“Yang turut hadir dan berucap sebelum Menteri Besar ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin, dan Presiden SMF, Douglas Foo,” kata kenyataan berkenaan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengisian lain PIF 2019 ialah perbincangan panel bertajuk, ‘Peluang Pelaburan di Pahang’ dipengerusikan Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah.

“Ahli panel yang terlibat dalam sesi panel perbincangan itu antara lainnya exco kerajaan kegeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin, Ahmad Tajudin Omar dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura dan Nik Mohd. Zaidi Nik Mohd. Zain dari Isuzu HICOM Malaysia Sdn. Bhd.,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memaklumkan, Wan Rosdy akan mengadakan sekurang-kurangnya lima perjumpaan perniagaan dengan wakil-wakil syarikat terkemuka Singapura.

“Kedua-dua ahli Exco kerajaan negeri yang turut serta dalam misi perdagangan itu iaitu Mohd. Sharkar dan Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dijangka turut mengadakan sesi perjumpaan perniagaan secara berasingan dengan wakil-wakil syarikat yang berkenaan.

“Pada hari kedua iaitu pada 2 Ogos akan diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak, dengan syarikat-syarikat terbabit,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Wan Rosdy akan menyaksikan majlis tersebut, yang menandakan komitmen serta persetujuan syarikat-syarikat berkenaan untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi ke negeri ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.