Buktikan Kesetiaan Kepada Negara, Bukan Kepada Dap

KOTA BHARU 31 Julai – Kementerian Dalam Negeri digesa untuk kekal dengan pelaksanaan dasar sebelum ini yang mengenakan syarat serta prosedur ketat sebelum memberi taraf kewarganegaraan kepada seseorang pemohon.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, kedaulatan Malaysia kini tergugat apabila dikatakan wujudnya agenda sulit bangsa tertentu untuk menawan negara ini melalui pintu belakang, termasuk membangkitkan isu kewarganegaraan.

Kata beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggalas amanah sebagai Menteri Dalam Negeri harus membuktikan kesetiaan kepada raja dan negara ini dengan cara tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak berhubung isu itu.

“Kami amat bimbang sekiranya pemohon yang tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak langsung boleh menyanyi lagu Negaraku dengan baik sebagai antara pra-syarat kelayakan, diberi taraf warganegara oleh pihak kementerian.

“Mereka ini sudah tentu tiada langsung nilai patriotisme kepada negara apatah lagi faham dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini menyuarakan keraguan terhadap penjelasan Muhyiddin berhubung pertemuan tertutup beliau dengan enam pemimpin DAP pada 22 Julai lalu.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, pemimpin DAP tidak perlu bertemu Muhyiddin bagi mendapatkan penjelasan berhubung syarat dan prosedur permohonan kewarganegaraan kerana perkara tersebut dijelaskan secara terbuka dari semasa ke semasa dalam sidang Parlimen.

Menurut Asyraf Wajdi, situasi tersebut sebaliknya secara tidak langsung menggambarkan bahawa wujud tekanan daripada pihak DAP kepada Kementerian Dalam Negeri supaya isu kewarganegaraan diselesaikan segera.

Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, Pemuda UMNO Kelantan bersetuju dengan pendapat Asyraf Wajdi supaya Muhyiddin kekal fokus menjalankan tugas dan tidak perlu tunduk kepada tekanan oleh mana-mana pemimpin DAP.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta pihak kementerian menyiasat secara serius akan kemungkinan wujudnya elemen berniaga kewarganegaraan kepada pendatang asing oleh pihak tertentu bagi meraih keuntungan lumayan dalam masa singkat. – UTUSAN ONLINE