UMNO Bahagian Sokong Hasrat Parti Wujud Piagam Bersama

SHAH ALAM 29 Julai – Menyedari hakikat bahawa hak-hak istimewa orang Melayu beragama Islam yang dijanjikan Perlembagaan Persekutuan seolah-olah dinafikan secara tersirat dan tersurat oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), UMNO Bahagian Shah Alam bersetuju agar agenda penyatuan UMNO dan PAS dizahirkan dalam satu piagam.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, sudah sampai masanya UMNO dan PAS memperkuatkan ukhuwah sesama ahli-ahli parti agar kesucian agama Islam tidak dicemari anasir luar.

“Isu seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh orang bukan Islam, isu LGBT, isu penyokong PH yang menafsirkan Islam mengikut fahaman liberal dan ajaran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah memerlukan kekuatan ummah diperkuatkan.

“Penyatuan kedua parti gergasi orang Melayu ini bukan sahaja mampu mewujudkan suara yang besar untuk mendesak pihak Kerajaan Negeri atau Persekutuan dalam isu melibatkan ekonomi malahan Perlembagaan Persekutuan dan politik, “katanya kepada Utusan Online selepas Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di Bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Yang hadir merasmikan persidangan itu adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Azhari berkata, beliau berharap piagam tersebut mampu memperkuatkan UMNO dan PAS untuk meneruskan kerja kebajikan bagi membantu rakyat Malaysia yang hidup dalam serba kekurangan.

“Hari ini agenda untuk membantu umat Islam diserah kepada badan zakat sedangkan ada kelompok tertentu yang tidak mempunyai hak di sisi Perlembagaan Persekutuan diberi bajet untuk membuat sekolah hingga menelan puluhan juta ringgit.

“Sebelum ini di bawah Barisan Nasional (BN) pelbagai bantuan kewangan diberi dari Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Baucer buku, bantuan untuk penoreh getah dan peladang kelapa sawit di Felda. Kekayaan negara diagih samarata membuktikan BN prihatin kesusahan rakyat,”katanya.

Justeru, agenda penyatuan ummah di bawah satu piagam wajar disegerakan antara kedua parti gergasi orang Melayu tersebut terutama bagi memastikan gerakan mendaftar pengundi dan kempen penerangan ancaman-ancaman kepada agenda umat Islam di negara ini pasca PRU-14 difahami oleh rakyat Malaysia terutama umat Islam secara komprehensif.

Media melaporkan minggu lalu pihak UMNO-Pas akan memeterai piagam yang bakal menyatukan dua parti politik Melayu selain tokoh Melayu dalam pelbagai bidang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pihaknya percaya penyatuan ummah bukan hanya menjadi agenda UMNO dan Pas, sebaliknya merangkumi semua pihak tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

Menurutnya, tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang antaranya akademik, ekonomi, agama dan sosial akan dijemput ketika majlis menandatangani dan pelancaran piagam UMNO dan Pas, pada 14 September depan. – UtusanOnline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.