Hina Nabi, UMNO Bahagian Marang Buat Laporan Polis

MARANG 26 Julai – UMNO Bahagian Marang telah membuat tujuh laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Laporan polis itu dibuat oleh UMNO Bahagian Marang yang disertai cawangan Rhu Rendang, Bukit Payong, Alor Limbat dan Pengkalan Berangan di samping sayap Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu dan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang.

Wakilnya, Mohamad Nor Endot berkata, kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta bersikap tegas dan tidak lagi berlembut ke atas mereka yang cuba melakukan provokasi melampau dengan menyentuh sentiviti agama orang lain secara berterusan.

Katanya, individu biadap itu perlu segera disiasat, ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

“Sudah sampai masanya golongan yang cuba mempermainkan sensitiviti agama Islam ini diambil tindakan lebih tegas tanpa sebarang alasan.

“Kita tidak mahu di dalam sebuah negara majmuk ini, masih ada pihak yang cuba memperkecilkan agama sedangkan orang Islam tidak pernah melakukan provokasi kepada agama lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku; Timbalannya, Jasmira Othman dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Terengganu merangkap Ketua Wanita UMNO Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Menurut Mohamad Nor, sekiranya perkara itu dibiarkan berlarutan ia dikhuatiri boleh menimbulkan kemarahan lebih ramai orang Islam hingga menyebabkan ada yang cuba bangkit memberontak untuk mempertahankan hak mereka.

“Oleh itu, kita harap kerajaan dan pihak polis mesti bertindak tegas bagi menangani isu seperti ini daripada terus berulang.

“Hentikan segera perbuatan biadap seperti itu kerana ia boleh mengundang perkara tidak diingini dan jika dibiarkan ada rakyat yang beranggapan agamanya tidak terbela dan akan ada pihak yang cuba bangkit mempertahankannya hingga tercetus perkara tidak diingini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.