Hina Nabi: Sayap PAS, UMNO Perlis Buat Laporan Polis

KANGAR 26 Julai – Sayap Pas dan UMNO negeriini tampil bersama membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook, Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini oleh Pemuda; Muslimat Pas serta Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO negeri bagi mendesak pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap individu yang disifatkan cukup biadab itu.

Naib Ketua Pemuda negeri, Mohd. Ridzuan Hashim berkata, Wendy Loong telah menyentuh sensitiviti umat Islam yang boleh mengugat perpaduan di negara ini.

“Kita membuat laporan agar polis menyiasat pemilik akaun Facebook Wendy Loong adalah individu itu menggunakan identiti sebenar atau akaun palsu.

“Jika akaun sebenar, dia mesti disiasat di bawah Akta yang sesuai seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Tindakan keras patut diambil ke atas penghina Nabi SAW,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Sementara itu, Ketua Muslimat Pas negeri, Latifah Mat berkata, individu biadap itu perlu segera disiasat, ditangkap dan dihukum.

“Sudah sampai masanya golongan yang cuba mempermainkan sensitiviti agama Islam ini diambil tindakan lebih tegas tanpa sebarang alasan dan kompromi.

“Kita sudah terlalu banyak bersabar sehingga ada individu yang sanggup menghina agama Islam. Sampai bila, perkara ini akan terus berulang,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Harmizan Abd. Halim.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.