Pembangkang Keluar Dewan, Bantah Usul Tak Ikut Peraturan

IPOH 24 Julai – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini hari ini kecoh apabila semua ADUN pembangkang bertindak keluar dewan.

Ia sebagai membantah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar dari DAP, Leong Cheok Keng membawa usul berhubung perbahasan laporan penambahbaikan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, ahli-ahli pakatan pembangkang tidak bersetuju dengan usul itu walaupun baik tetapi dibawa dengan cara yang salah.

Katanya, usul yang dibawa bagi membahaskan penambahbaikan laporan MB Inc. itu didakwa mempunyai niat tertentu.

“Mengikut prosedur buku laporan penambahbaikan MB Inc. ini perlu dibentangkan untuk dibaca semua Ahli-ahli Dewan termasuk Yang Dipertua Dewan (Speaker) DUN.

“Malah dalam buku ini tiada sebut pun salah guna kuasa atau rasuah tetapi perlu penambahbaikan melalui beberapa syor oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak.

“Syor ini hendaklah dikemukakan kepada Menteri Besar untuk diperbaiki urus tadbir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Sidang DUN Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Kata Saraani, apa yang jelas usul yang dibawa oleh Cheok Keng ialah bagi penambahbaikan tetapi bukan membawa buku laporan MB Inc. untuk dibahaskan.

Tegasnya lagi, ia merupakan tindakan membuang masa kerana laporan berhubung laporan penambahbaikan MB Inc. telah diterima untuk perhatian Menteri Besar.

“Tindakan ini sebenarnya mengelirukan seolah-olah ADUN kerajaan negeri tidak percaya pada keputusan jentera pentadbiran kerajaan sendiri.

“Risikonya ialah usul ini setelah diluluskan Dewan akan menjadi satu arahan yang wajib dipatuhi termasuk semua penambahbaikan yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.