UMNO Ada Prinsip, Undang-undang Mesti Ditegakkan… Biar Mahkamah Yang Menentukannya – Annuar

KOTA RAJA, 22 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa UMNO mempunyai prinsip yang jelas dan tetap berpegang teguh kepada prinsip yang ada dalam apa jua hal atau segala jenis salah laku.

Kata Annuar, dalam apa-apa juga isu atau krisis yang berlaku, UMNO sebenarnya tidak pernah bersekongkol malah akan berpandukan kepada undang-undang yang akhirnya mahkamah akan menentukannya.

“UMNO tidak pernah bersekongkol termasuklah dengan hal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tapi sehingga kini tidak ada bukti yang mengatakan ia salah maka kita tidak boleh menuduh bersalah selagi mana tidak dibuktikan salah, itu adalah pendirian parti. Kita ikut proses undang-undang. Urusan ini biarlah ikut proses mahkamah yang menentukannya.

“Orang UMNO tidak mempertahankan 1MDB, orang UMNO tidak mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak sebab beliau adalah individu, malah Datuk Seri Najib Razak pun tidak meminta orang UMNO mempertahankannya kerana beliau sanggup berhadapan dengan undang-undang asalkan mahkamah itu adil. Ini jelas prinsip UMNO dan yang lainnya hanya politik,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja, semalam.

Tegas beliau, keadaan ini berbeza dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan hari ini iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Sampai bila PH hendak menyembunyikan kebenaran? Rakyat akan tetap dapat mengetahui kebenaran yang ada kerana kita hendak jawapan yang jelas dan nyata. Kerajaan hari ini tidak boleh dibiarkan lama bertahan dan harus ditukar kerana banyak yang mereka lakukan mengelirukan.

“UMNO adalah sebuah parti yang tetap menjunjung kebenaran malah tertulis dalam rekod. Kita pernah memenjarakan Timbalan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan juga menteri-menteri yang lain sekiranya terbukti benar ada melakukan kesalahan sebagimana yang disabitkan di mahkamah, bukannya macam kerajaan hari ini apabila ada kuasa dilepaskan begitu sahaja. Ini rekod PH berbanding dengan UMNO.”

Beliau berkata demikian merujuk kepada pelbagai isu yang masih berlarutan antaranya kematian anggota bomba Mohd Adib Mohd Kassim yang masih gagal mendapat pembelaan, anak menteri terlibat kes dadah tapi masih tidak didakwa, Exco merogol amah selain video seks luar tabie yang sudah menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan hari ini penuh dengan politik, menanam kebencian dan persepsi dengan apa-apa juga UMNO dipersalahkan… segala-galanya angkara UMNO,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.