UMNO Ditekan, Diugut… Akar Umbi Tetap Utuh Kekal Setia
PORT DICKSON, 21 Julai – Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerajaan Pakatan Harapan (PH) berterusan menekan dengan pelbagai tindakan dan ugutan kepada UMNO dengan harapan UMNO berkubur dan orang Melayu akan bergantung harap kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Apa yang mereka harapkan itu sebaliknya tidak berlaku apabila akar umbi UMNO tetap kekal utuh dan tidak ada cawangan parti yang terbubar disebabkan penghijrahan secara total ke parti lain.
“Walaupun kita kalah, kita sebagai ahli UMNO terus kukuh, setia dan bersama UMNO bagi meneruskan perjuangan. Sebenarnya jika tidak ada kecekalan dalam diri kita selaku pejuang-pejuang UMNO, ramai telah meninggalkan parti kerana tekanan yang begitu kuat dilakukan oleh kerajaan PH selepas kita kalah.
“Kita kalah sahaja mereka bekukan aset dan kewangan UMNO, akaun ibu pejabat dibekukan, akaun negeri-negeri, bahagian-bahagian sehingga hari ini. Kalau mengikut AMLA kalau selepas setahun mereka tidak boleh rampas, mereka kena pulangkan semula duit itu tetapi tidak berlaku kononnya dari duit 1MDB sedangkan waktu kita kalah kes 1MDB belum dibawa ke mahkamah.
“Sebab apa? Sebab hendak lihat kita berkubur. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditubuhkan baju pun warna merah tiru kita… sebab hendak tunjukkan mereka parti alternatif kepada UMNO, untuk orang Melayu.. Tapi Alhamdulillah, walaupun tekanan-tekanan dilakukan kita tetap mempertahankan parti kita,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang di sini, hari ini, yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.
Turut sama, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli, Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi dan ADUN Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.
Hadir sama, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Abdul Samad, kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) dari MCA dan MIC serta KIMMA dan PAS kawasan.
Antara lain tekanan yang PH lalukan kepada UMNO adalah mendakwa kepimpinan parti serta membawa parti ke mahkamah, tambahnya lagi.
“Tangkap kepimpinan untuk melemahkan ahli. Habis PRU ‘bossku’ (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) kena tangkap, dengan harapan apabila tiada ada ketua ahli bertempiaran di belakang. Presiden kita (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) hari ini menang, esok kena dakwa. Kalau betul nak dakwa awal lagi PH boleh dakwa. Cuti jadi Presiden tidak ada apa-apa kes..kembali bertugas dakwa semula. Ini juga strategi mereka melemahkan semangat.
“Mereka bawa kes ke mahkamah untuk UMNO diharamkan. Ada 13 ahli UMNO yang tidak puas hati (kalah bertanding dan pelbagai lagi), saman Pendaftar Pertubuhan (RoS) meminta mahkamah mengisytiharkan surat kebenaran RoS yang membenarkan penangguhan mesyuarat pemilihan sebagai tidak sah,” ujarnya.
Seterusnya Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, PH menekan UMNO dengan mencuri ahli-ahli parlimen untuk diperalatkan dengan harapan ahli turut mengikut jejak langkah.
“Ahli parlimen lompat.. Alhamdulillah dia seorang sahaja lompat sebab orang lain nampak dia lompat ke dalam longkang. Sekarang ahli parlimen yang lompat tidak dapat keistimewaan, tidak dipedulikan pun.. tujuannya supaya UMNO lemah apabila ahli parlimen lompat.
“Mereka anggap ahli parlimen akan lompat bersama cawangan dan cawangan akan tutup dan buka ‘baju merah’ yang baharu iaitu PPBM tetapi tidak berlaku.
“Mereka yang melompat sekarang ini macam ‘melukut di tepi gantang’. Setiap sidang parlimen apabila hendak dibuka akan ada ‘pre council’, kerajaan buat pembangkangpun buat untuk berbincang. Kita buat semua datang termasuk dari PAS dan Parti Gabungan Sarawak (GPS). PH buat, semua yang lompat seorang pun tidak datang kerana tidak dijemput,” katanya lagi.
Begitu juga PH secara terang-terangan mengugut kakitangan kerajaan jangan bersama pembangkang sebagaimana yang berlaku kepada beberapa agensi.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera bersyukur tekanan demi tekanan yang diterima UMNO tidak mematahkan semangat ahli-ahli serta pendukungnya yang tidak hilang arah dan tetap mempertahankan parti.
“Sebenarnya kita tidak hilang arah kerana perjuangan kita jelas. Apabila UMNO ditubuhkan jelas hala tuju untuk menegakkan agama, memartabatkan bangsa Melayu. (Begitu juga) PAS, walaupun tidak pernah menjadi kerajaan (pusat) tetapi tetap dengan perjuangan kerana perjuangannya ada asas yang kukuh dan jelas.
“PKR diwujudkan tak lain tak bukan nak tumbangkan Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), PPBM ditubuhkan untuk menumbangkan Datuk Najib,” bidasnya.
Dalam perkembangan yang sama, Ismail menegaskan jumlah majoriti yang besar orang Melayu di negara ini tidak memberi jaminan kekuatan bangsa sekiranya tidak wujud semangat perpaduan dan bersatu padu antara sesama. – MediaUMNO