Jangan Terperangkap Mainan Pihak Luar Cuba Lemahkan Parti – Ahmad Jazlan

MACHANG, 21 JAN – Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengingatkan ahli parti agar tidak mendengar dan terperangkap dengan suara-suara sumbang daripada luar mengenai parti berkenaan.

Ini kerana katanya selepas tewasnya UMNO pada pilihan raya umum yang lalu pihak luar ingin melihat parti berkenaan terus ‘mati’ namun hari ini sebaliknya dapat dilihat menerusi kebangkitan yang cukup terserlah.

“Alhamdulillah syukur… UMNO bahagian Machang sendiri melihat kehadiran begitu ramai perwakilan… begitu juga mesyuarat cawangan yang berlangsung di akar umbi sangat luar biasa dan mereka yang hadir lebih daripada ketika kita menjadi kerajaan.

“Begitu juga dengan ‘pembunuhan’ karakter pemimpin parti dalam usaha untuk melemahkan UMNO tetapi hari ini kita berada dalam kesiapsiagaan dan hanya menunggu paluan perang daripada pimpinan untuk berdepan,” katanya pada program majlis perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Machang yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang seterusnya berkata walaupun parti itu ditekan namun insya-Allah, Allah swt akan terus memelihara parti berkenaan.

“UMNO ditekan dan diasak macam-macam… diasak atas dan bawah. Namun ianya tidak cukup untuk menekan parti ini dan kita yakin Allah swt memelihara parti ini,” ujarnya.

Tegasnya pilihan raya umum yang lalu mempunyai nikmat di sebalik kekalahan.

“Apa yang saya maksudkan nikmat itu… kalau tidak berlaku kekalahan tidak akan berlaku apa yang kita saksikan hari ini. Tidak mungkin rombongan PAS bersama hari ini. Alhamdulillah….

“Penyatuan ummah ini menunggu masa untuk disebut dan diwartakan kepada seluruh rakyat. Nikmat penyatuan ummah adalah yang terbesar setelah berpecah sekian lama,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.