UMNO – PAS, Pakatan Luar Biasa

GUA MUSANG 20 Julai – Kerjasama UMNO dan Pas merupakan satu usaha murni yang boleh menjamin masa depan negara yang lebih bahagia.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan perkara itu sebagai satu kesaktian luar biasa selepas penyatuan kedua-dua parti berlaku pada tahun 1974.

Beliau berkata, usaha itu harus disambut baik oleh semua pihak dan menyatakan sokongan secara bersama, walaupun terdapat pihak tertentu membuat tuduhan jahat tentang kerjasama itu.

“Kerjasama ini bukan saja memberi kekuatan kepada kita, tetapi mempercepatkan proses pembangunan dan proses baiki keadaan yang lemah.

“Saya rasa pakatan luar biasa ini patut disambut oleh semua pihak dan mesti menyokong bersama dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Mohd. Syahbuddin Hashim; Naib Ketua UMNO bahagian, Ab. Aziz Yusoff dan Ketua Penerangan UMNO bahagian, Amran Arifin.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, kerjasama itu juga bakal membawa pembaharuan perjuangan orang Melayu dan agama Islam pada masa hadapan.

Katanya, kerjasama itu bukan untuk merosakan atau mengancam sesiapa, tetapi perpaduan yang akan menjanjikan rakyat kepada era lebih baik berbanding masa lalu.

“Saya rasa semua pihak yang berfikiran waras dan mempunyai pandangan masa depan yang baik akan menerima pandangan kita dan akan bersama dengan kita, kecuali mereka yang mempunyai niat tak baik sahaja.

“Saya dengar khabar ahli UMNO yang dulunya marah-marah dengan Pas, begitu juga orang Pas yang menolak UMNO bulat-bulat kini sudah berjinak-jinak dan berkawan. Saya nampak mereka benar-benar mahu bersatu.

“Sekarang ini rundingan lanjut sedang dilakukan dan kita berharap dapat diselesaikan secepat mungkin supaya kita dapat turun ke bawah bersama sehingga peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN ONLINE