ADUN PH Tak Senang Dengan BN Kerana Isu #MelakaKotorBoss

MELAKA 18 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sekali lagi bertukar kecoh apabila Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertekak sesama sendiri angkara isu kebersihan negeri yang ditimbulkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron.

Bekas ketua menteri yang juga ADUN Sungai Udang dikatakan sering memburuk-burukkan kepimpinan kerajaan negeri dalam media sosial dengan menggunakan kata kunci #MelakaKotorBoss untuk menyindir kerajaan negeri yang dianggap gagal menangani isu tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew membangkitkan isu itu selepas Idris menyentuh isu kebersihan di negeri ini ketika menyampaikan ucapan penangguhan.

Kok Kiew ketika menggulung perbahasan hari ini, mempertikaikan tindakan Idris yang menggunakan kata kunci tersebut setiap kali memuat naik status dalam laman sosial miliknya yang boleh menjejaskan imej negeri.

Idris yang dilihat tidak berpuas hati bangun menjawab tuduhan tersebut dengan memberitahu, setiap isu yang dimuat naik dalam laman Facebook itu sudah pun diajukan ke beberapa jabatan berkaitan menerusi panggilan telefon sebelum ini. Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil.

“YB (Kok Kiew) kena semak Peraturan Dewan, mana boleh sentuh mana-mana ahli Dewan secara terus kerana hal ini (yang dibangkitkan dalam Facebook) dibuat secara umum.

“Tanya ketua jabatan berapa kali saya buat panggilan telefon secara terus kepada mereka. Saya mewakili rakyat Sungai Udang akan tetap teruskan cara ini untuk kepentingan mereka,” katanya.

Berikutan itu, berlaku pertikaman lidah antara beberapa Exco negeri termasuk Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu) dan Ginie Lim Siew Lin (PKR-Machap Jaya) dengan pembangkang.

Wakil pembangkang yang bangun mempertahankan Idris termasuk Datuk Amirudin Yusof (BN-Ayer Limau) dan Datuk Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu).

Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar terpaksa menangguhkan persidangan kira-kira seminit sebelum Kok Kiew meneruskan ucapan penggulungan. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.