18 Tahun Pemilih Automatik, Calon Pilihan Raya: PH Akur Kewibawaan, Desakan Pembangkang

IPOH, 18 Julai – Keakuran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerima desakan pembangkang mengenai umur 18 tahun hendaklah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik dan layak sebagai calon pilihan raya menunjukkan kewibawaan serta contoh keterbukaan Barisan Nasional (BN) dan PAS, ujar Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid.

Katanya, ini juga menunjukkan barisan pembangkang mementingkan kemudahan dan keperluan rakyat berbanding menyukarkan umpama kata pepatah ‘lebih banyak memberi daripada menerima’.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak merakamkan ucapan setinggi tahniah buat semua Ahli Dewan Rakyat dari blok pembangkang yang begitu terbuka dan peka terhadap keperluan anak muda, dengan berjiwa besar bersama-sama menyokong keterlibatan anak muda di dalam landskap politik negara seawal usia 18 tahun.

“Pemuda UMNO Perak komited bagi menjiwai anak muda bagi persediaan pilihan raya umum (PRU) akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ariff berkata demikian mengulas mengenai Dewan Rakyat pada Selasa baru-baru ini yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan juga had umur yang sama menjadi calon bagi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Tambahnya lagi, perkara tersebut dapat dijayakan hasil daripada kematangan barisan pembangkang yang membantu kerajaan untuk mendapatkan dua pertiga bagi meminda perlembagaan.

“Dengan undian majoriti 2/3 iaitu sebanyak 211 Ahli Dewan yang bersetuju untuk pindaan ini, pembangkang diterajui BN dan PAS memperlihat kematangan dalam politik dengan memberi sokongan terhadap satu pindaan yang menjadi sejarah besar buat negara semenjak kemerdekaan.

“Sejak dari mula cadangan dan perbincangan, pembangkang telah sebulat suara bersetuju dan mendesak dengan syarat bagi penambahbaikan pindaan ini dengan kelayakan mengundi secara automatik apabila mencecah umur 18 tahun bagi memberi peluang dan mempermudahkan urusan hampir 7.8 juta pengundi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Desakan juga turut dibuat bagi Dewan meluluskan had kelayakan umur bagi calon pilihan raya kepada 18 tahun,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.