Jangan Pandang Remeh Fenomena ‘Bossku’

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, fenomena ‘Bossku’ tidak boleh dipandang remeh kerana fenomena ini menarik minat semua lapisan tanpa ada sebarang paksaan.

Jelas beliau, mereka yang meraikan ‘Bossku’ ini datang secara sukarela bagi menunjukkan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jangan pandang rendah golongan ini kerana mereka ini pengundi. Mereka di bawah 21 tahun ke atas adalah pengundi dan jika usul penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun diluluskan maka mereka juga pengundi.

“Jadi, jika mereka bersama Najib dalam fenomena Bossku maka apa salahnya Najib dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

“Beliau dilantik masa dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN jadi apa isunya,” ujar beliau kepada media di Parlimen hari ini.

Tambah Tajuddin, lantikan ini bukan bermakna Najib akan menjadi perdana menteri semula sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Jawatan beliau bukan sebagai Presiden UMNO, dia hanya pengerusi penasihat dan tiada kuasa eksekutif pun.

“Kalau nasihatnya baik kita terima, kalau tidak kita cuma dengar la… tidak ada masalah. Lantikan ini bukan bermakna dia adalah bakal perdana menteri.

“Konon Najib buat ‘come back’ untuk jadi perdana menteri balik… siapa yang cakap? Parti tidak pernah cakap,” ujar beliau lagi.

Selain itu, beliau turut melahirkan harapan agar orang ramai tidak perlu risau dengan barisan kepimpinan BN.

“Saya harap orang ramai jangan risau… kalau mereka mahu melihat barisan baru menerajui BN dalam pilihan raya akan datang saya rasa itu akan terjadi… akan ada muka baru. Jangan risau,” ulasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.