4 Ketua Pemuda PH Hina Mahkamah… Peguam Negara Harus Bertindak

KOTA BHARU 12 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan empat ketua pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah menghina mahkamah apabila mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan terhadap penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dan menaikkan hukuman penjara kepada 12 bulan.

Pengerusi Kluster Peguam Muda pergerakan tersebut, Nik Saiful Adli Burhan berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas seharusnya bertindak segera sebagai pihak yang mempunyai kuasa atas kes ini lebih-lebih lagi apabila kenyataan media Pemuda PH turut mengkritik dan mendesak pihak pendakwaan menjelaskan tindakan mereka memohon hukuman berat terhadap Wan Ji.

Beliau berkata, Tommy masih berpeluang membuktikan beliau adalah Peguam Negara dan bukannya peguam PH dengan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat.

“Perbuatan mereka mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah suatu kesalahan menghina mahkamah dan boleh dihukum penjara. Aturan 52 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 menetapkan bahawa suatu prosiding untuk perintah hukuman terhadap pelaku menghina mahkamah, atau disebut sebagai Perintah Pengkomitan boleh dibuat sama ada oleh Mahkamah sendiri atau difailkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kausa atas kes tersebut.

“Pendakwa raya mempunyai hak untuk menfailkan permohonan kepada mahkamah untuk perintah tersebut terhadap keempat-empat ketua pemuda yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Ji terpaksa meringkuk dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak ra¬yuan terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Wan Ji yang pada 2017 dilantik sebagai Pegawai Penerangan kepada Lim Guan Eng sewaktu Menteri Kewangan itu bergelar Ketua Menteri Pulau Pinang malahan terpaksa meringkuk selama setahun setelah Hakim, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman asal setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan.

Ekoran daripada itu, Pemuda PH mendesak pendakwa raya kes rayuan, Wan Ji agar memberi penjelasan mengapa hukuman lebih berat dikenakan terhadap penceramah bebas itu.

Desakan itu dibuat dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How; Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzah.

Nik Saiful Adli berkata, penghinaan terhadap mahkamah tersebut serius kerana mampu merosakkan dan mencampuri tadbir urus sistem keadilan apatah lagi pertikaian yang ditimbulkan boleh melemahkan keyakinan umum terhadap institusi tersebut.

“Saya mengulangi pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bahawa DAP tidak wajar mengajak rakyat bersolidariti ke atas pesalah yang sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah, lebih-lebih lagi ianya kesalahan penghinaan terhadap institusi Raja yang menjadi payung kepada negara dan pemelihara agama Islam.

“Jika sewaktu menjadi pembangkang, PH tegar menentang undang-undang, kini sebagai kerajaan mereka masih mempertikaikan sistem perundangan dan keadilan negara. Maka sememangnya mereka bukanlah rakyat yang patuh kepada undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.