Pemimpin PH Perlu Hormat Keputusan Mahkamah – DMJ

JOHOR BAHRU 11 Julai – Dewan Muda Johor (DMJ) menempelak sikap segelintir ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutuk keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap penceramah bebas, Wan Ji.

DMJ menerusi kenyataan berkata, komen diberikan pemimpin terlibat antaranya hukuman dijatuhkan ke atas penceramah itu terlalu keras jelas menunjukkan mereka secara terbuka mempertikaikan keputusan hakim dan Jabatan Peguam Negara yang meneruskan pendakwaan kes itu.

DMJ juga percaya bahawa tindakan mereka itu tidak tepat kerana menggunakan media sebagai tempat meluahkan perasaan tidak puas hati.

“Sepatutnya, sebagai anggota dalam kerajaan dan juga Ahli Parlimen, mereka mempunyai kapasiti untuk mengkaji sesuatu undang-undang di parlimen selain mempunyai ruang untuk memberi cadangan memansuhkan sesuatu perkara itu.

“Selagi mana undang-undang itu tidak dimansuhkan, maka ia akan kekal berkuatkuasa dan diguna pakai,” menurut DMJ dalam kenyataan malam tadi.

DMJ berkata, antara janji di dalam manifesto PH adalah untuk menghapuskan undang-undang yang kononnya zalim seperti Akta Hasutan, namun selepas lebih 400 hari memerintah, masih tiada satu pun akta tersebut dimansuhkan.

Selain itu, DMJ berkata, Malaysia juga mengamalkan konsep pengasingan kuasa yang mana anggota kerajaan tidak boleh mencampuri urusan kehakiman sekali gus keputusan dibuat adalah bebas daripada sebarang campur tangan politik.

DMJ juga berpendapat, pencemarah bebas seperti Wan Ji perlu diperhatikan lebih dekat oleh pihak berkuasa kerana pernah tersebar video beliau mengatakan sistem kesultanan akan dihapuskan dan menjadikan Malaysia sebuah negara republik, tindakan itu ternyata satu hasutan yang berniat jahat.

“DMJ tidak berniat untuk mempertahankan Akta Hasutan 1948, namun dalam isu ini, kerajaan perlu meneliti kes-kes yang melibatkan hasutan dan melihat apakah kaedah perundangan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini daripada berleluasa,” menurut DMJ dalam kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.