Muhyiddin Perlu Buktikan Ada Campur Tangan Istana Johor – DMJ

JOHOR BAHRU 11 Julai – Dewan Muda Johor (DMJ) menyifatkan tuduhan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada campur tangan Istana Johor dalam isu pindaan had umur belia di negeri ini adalah amat berat.

Justeru, DMJ menerusi kenyataan menggesa supaya tuduhan dilemparkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dibuktikan dengan fakta dan bukan hanya membuat spekulasi liar semata-mata kerana ia secara tidak langsung memburukkan nama Istana Johor.

DMJ Percaya, pertemuan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Ali adalah semata-mata untuk berbincang serta memberi pendapat dan nasihat baginda berhubung perkara itu.

“Sebelum kehadiran TMJ di Kota Iskandar, telah pun berlaku kekecohan ekoran perubahan kenyataan media kerajaan negeri sebanyak tiga kali dalam tempoh dua hari berhubung isu had umur belia yang mengundang pelbagai spekulasi baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat pusat.

“DMJ percaya Menteri Besar dan Exco Belia sebagai kuasa eksekutif mempunyai kuasa mutlak kepada sebarang keputusan yang dibuat setelah mengambil kira nasihat dan pandangan pelbagai pemegang taruh,” menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.

DMJ berkata, perkara itu terbukti pada kenyataan media terakhir Sheikh Umar yang menyatakan bahawa keputusan kerajaan negeri mengekalkan semula had umur belia kepada 40 tahun adalah atas dasar perbincangan dan nasihat pihak-pihak yang berkepentingan dalam isu belia.

Sehubungan itu, DMJ mendesak Dr. Sahruddin dan Sheikh Umar untuk menjawab pertuduhan yang dilemparkan oleh Muhyiddin kepada Istana Johor sekali gus membuat penjelasan sewajarnya berhubung isu berkenaan. – UTUSAN ONLINE.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.