Laporan Kebahagiaan Dunia: PH Gagal Tahap ‘Gaban’, Rakyat Tak Bahagia


KUALA LUMPUR, 22 Mac – Laporan Kebahagiaan Dunia (World Happiness Index) dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuktikan satu lagi kegagalan rejim kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negara, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dilaporkan, semalam kedudukan Malaysia telah jatuh 45 tempat kepada tempat 80 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 berbanding tempat 35 pada tahun 2018.

“Laporan Mac 2018 kedudukan Malaysia tempat ke 35, laporan Mac 2019 menjunam turun ke tempat ke 80 daripada 156 negara. Satu lagi kegagalan rejim PH. Gagal tahap ‘gaban’, rakyat tidak bahagia,” ulas beliau melalui lontaran dalam laman Twitternya hari ini.

Terdahulu, menerusi satu program, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dilapor berbangga Malaysia berada di kedudukan ke-35 dalam senarai negara paling bahagia di dunia berdasarkan kajian oleh World Happiness Report 2018, namun kemudiannya Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 menunjukkan kejatuhan yang menjunam.

Menurut laporan 2019 itu, Malaysia antara empat negara yang mengalami kejatuhan paling teruk bersama Venezuela, Ukraine dan India.

Indeks kebahagiaan itu dinilai berdasarkan 14 aspek utama kehidupan termasuk persekitaran yang bersih dan komunikasi yang berkesan untuk menyelesaikan isu keselamatan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.