Jangan Bebankan Rakyat Dengan Potong Subsidi Haji, Mujahid Diminta Hayati Matlamat TH


KUALA LUMPUR, 21 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merayu agar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang merupakan Menteri bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama mewakili Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sesekali melupakan matlamat asal penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH).

Sehubungan itu, ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon agar Dr Mujahid jangan sesekali mempertimbangkan untuk dikurangkan subsidi Haji bagi jemaah Muassasah kali pertama.

“Walau apapun alasan, Pemuda UMNO juga mendesak agar Kerajaan tidak meneruskan agenda untuk mengurangkan subsidi Haji yang pastinya akan membebankan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia masa depan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya, malam tadi.

Katanya, menggunakan alasan konsep istito’ah atau ‘kemampuan jemaah’ untuk menghalalkan TH mengurangkan komitmen subsidi yang diberikan selama ini bagaikan cuba melupakan matlamat asal penubuhannya.

“Sedarlah bahawa tujuan utama penubuhan TH sejak awal penubuhannya 1969 adalah untuk membantu memudahkan dan menguruskan segala aspek yang menyentuh urusan Haji rakyat Malaysia.

“Ini termasuklah berfungsi menguruskan dana umat Islam bagi memperoleh keuntungan yang membolehkan TH membantu mengurangkan bebanan jemaah dengan menawarkan perkhidmatan terbaik pada kadar yang terendah.”

Sebab itulah tegasnya, Kerajaan terdahulu sentiasa memastikan TH dapat menyediakan subsidi bagi mengurangkan kos jemaah Haji pertama kategori Muassasah.

“Untuk rekod sudah lebih 10 tahun, kadar yang perlu dibayar jemaah Haji Malaysia hanyalah RM9,980 berbanding kos terkini diumumkan Kekanda YB Menteri yang sudah mencecah RM22,900.

“Seingat saya ketika dalam pentadbiran Kerajaan lama, pernah tiga kali Pengurusan TH memohon untuk dinaikkan caj Haji kepada jemaah.

“Namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu, tidak pernah bersetuju dan sentiasa memperingatkan mengenai matlamat penubuhan TH, malah membantu TH dengan memberikan peluang-peluang perniagaan, pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk hartanah bagi memastikan TH mempunyai kekuatan kewangan yang mantap dan memperolehi keuntungan yang optimum bagi meneruskan usaha membantu rakyat khususnya jemaah Haji.”

Soal beliau, apakah kenyataan YB Dr. Mujahid yang terbaru ini memberikan indikasi bahawa Kerajaan PH tidak lagi mahu membantu TH mengembangkan perniagaan mereka?

“Atau, apakah ini juga memberikan isyarat kegagalan penstrukturan semula TH termasuk kesilapan keputusan penjualan aset-aset strategiknya kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan yang bernilai RM19.9 billion?” tegasnya lagi.

Dilaporkan semalam dalam sidang Dewan Rakyat, Dr. Mujahid berkata Kerajaan akan memperkenalkan konsep Istito’ah (kemampuan) bagi mengurangkan beban subsidi TH ke atas para jemaah haji sebagai usaha mengurangkan bantuan daripada TH.

Katanya, kemampuan adalah sebahagian syarat melakukan haji dari aspek kewangan iaitu kalau tidak cukup kos iaitu RM22,900 yang merupakan kos sebenar bermakna tidak mampu kalau tidak cukup. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.