UEC Diiktiraf? PH Diminta Beri Penjelasan…


JOHOR BAHRU, 19 Mac – Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Teo Nie Ching telah menguar-uarkan satu iklan berkenaan Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (PISMP) tetapi pada masa yang sama telah meletakkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat lulus untuk diterima masuk ke program ijazah itu.

Sehubungan itu, ADUN Parit Raja, Rashidah Ramli meminta penjelasan mengenai kewajaran meletakkan UEC sebagai syarat lulus untuk diterima masuk ke program ijazah berkenaan dan sistem perjawatan kerajaan.

“Ini kerana tiada lagi sebarang keputusan rasmi yang dilakukan kerajaan mengenai isu pengiktirafan sijil UEC. Maka Kementerian Pendidikan harus menerangkan yang fakta sebenar mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selain lulus subjek Sejarah, sebagai syarat akademiknya.

“Program ijazah itu juga meletakkan syarat tambahan yang mana membenarkan lulusan UEC dengan sekurang-kurangnya tiga gred kepujian pada peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC – SML), turut digalakkan juga memohon program berkenaan.

Katanya, difahamkan Kementerian Pendidikan mengambil keputusan untuk mengkaji dan mengumpul fakta dahulu mengenai sijil UEC sebelum ia diiktiraf selain juga sudah wujud satu jawatankuasa untuk mengkaji UEC sebelum ia diterima pakai secara meluas, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan sendiri pada Julai tahun lalu.

“Namun kini sijil UEC telah menjadi salah satu daripada syarat lulus untuk mengikuti sebuah program ijazah sarjana muda dan kemudiannya diserap masuk ke sektor kerajaan sebagai seorang guru di sekolah,” katanya.

Dilaporkan, Teo Nie Ching semalam menerusi Twitter beliau telah memaklumkan tentang pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan UEC. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.