Siapa Hina Dewan… Saya Atau Timbalan Speaker? – Noh Omar

 

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menyelar tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menggantung dirinya selama tiga hari daripada menghadiri Sidang Parlimen.

Beliau mempersoalkan peraturan manakah yang digunapakai oleh Kor Ming bagi membuat petua tersebut.

“Kalau digantung dibawah Peraturan 44, bermakna saya melawan Speaker pada masa itu seperti semalam. Kalau nak gantung saya kena gantung semalam. Semua tahu semalam saya berdebat dengan Timbalan Speaker dan kalau dia rasakan saya menghina Dewan dan tidak patuh kepada Speaker maka semalam patut gantung… mengapa hari ini baru gantung…?

“Kedua, kalau nak gantung saya, tunggulah saya hadir dalam Dewan, ini saya tidak ada dalam Dewan dan yang ketiga, isu yang saya bangkitkan berkaitan dengan tuan punya diri iaitu Timbalan Speaker. Soalan saya mudah sahaja adakah benar apa yang dilaporkan media bahawa dia ada mengeluarkan kenyataan, Malaysia akan jadi seperti Afganistan diperintah Taliban jika UMNO dan PAS membentuk kerajaan?

“Saya tanya betul atau tidak betul Ahli Parlimen Teluk Intan (Kor Ming) ada cakap macam tu… itu sahaja. Kalau betul katalah betul, janganlah putar-belit jawapan. Jadi siapa yang hina Dewan sekarang, saya atau Timbalan Speaker? Timbalan Speaker yang hina Dewan… tidak berani bercakap benar dalam Dewan jadi kenapa saya pula yang kena gantung? Patutnya Timbalan Speaker yang kena letak jawatan kerana menghina Dewan,” ujar beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Noh, apa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat hari ini benar-benar memalukan apatah lagi ketika itu Sidang Dewan Rakyat sedang dikunjungi oleh Speaker Parlimen Singapura.

“Ia amat memalukan. Kalau di Parlimen pun sudah ikut ‘rule of jungle’, bagaimana kita nak mengharapkan rakyat di luar sana mendapat ‘rule of law’,” bidas beliau.

Sebelum itu sesi Dewan Rakyat kecoh apabila Noh tetap memasuki Dewan Rakyat atas alasan tidak tahu dirinya digantung.

Blok pembangkang mempertikaikan keputusan Kor Ming kerana ia dianggap satu keputusan yang menyalahguna kuasa.

Akibat tidak dapat mengawal keadaan, akhirnya Dewan yang dikendalikan oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, mengambil keputusan menangguhkan Sidang memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengahari. – MediaUMNO