PH Perlu Cakap Serupa Bikin, Buktikan Pentingkan Perpaduan Tanpa Iktiraf UEC


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Hari ini Pakatan Harapan (PH) yang menerajui (kononnya) Malaysia Baharu sering menjenamakan diri sebagai parti yang lebih mementingkan perpaduan, maka buktikanlah dan cakap biar serupa bikin, tegas Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Beliau berkata demikian berikutan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching semalam menerusi Twitter beliau telah memaklumkan tentang pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi lepasan UEC, SMA dan SMU.

“Saya tidak berniat mensensasikan pengumuman Teo Nie Ching atau menjadikan ia modal politik memandangkan saya sedar bahawa pengambilan PISMP untuk lepasan UEC, SMA dan SMU ini pernah dibuat beberapa kali semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Tetapi pada masa yang sama, sejak dari dahulu lagi saya konsisten menolak pengiktirafan terhadap UEC,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Katanya, hujahnya mudah, dalam negara berbilang kaum ini, dimana sahaja yang kita mampu mengurus masyarakat ke arah perpaduan dan kebersamaan, buatlah perkara itu, selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan kerana tiada waktu yang lebih baik untuk memupuk semangat itu selain di bangku sekolah.

“Bagi penyokong PH yang mungkin mahu tuduh saya hipokrit dan sebagainya, suka saya ingatkan ini adalah soal prinsip dan sewaktu pentadbiran BN sebelum ini pun, saya dan rakan-rakan lain (termasuk dari Parlimen Belia) pernah menyuarakan bantahan kami.

“Malah kami juga pernah mendesak agar rancangan sistem sekolah satu aliran dilaksanakan di Malaysia ini, walaupun ia tidak disambut oleh pimpinan Kerajaan pada waktu itu.

“Itu dulu. Hari ini PH yang menerajui (kononnya) Malaysia Baharu sering menjenamakan diri sebagai parti yang lebih mementingkan perpaduan. Maka buktikanlah. Cakap serupa bikin. Saya akur bukan mudah mengubah legasi berdekad, tetapi UEC ini bukan perkara legasi besar seperti SJK dan sebagainya. Jadi bagi saya tidaklah terlalu sukar untuk mengelak dari mengangkat tahap pengiktirafan.”

Katanya, jika sewaktu menjadi kerajaan dahulu beliau mempersoal bentuk pengiktirafan UEC, kini sebagai pembangkang maka lebih terbuka menolak.

“Saya ulang apa saya sebut tiga tahun dulu: nak hantar anak ke sistem UEC, silakan. Itu hak anda. Kita bukan negara fasis nak menentukan segala-gala pilihan individu. Tapi Kerajaan tak perlu ‘menggalakkan’ dengan pengiktirafan sebegini,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.