PH Kerajaan Yang Gagal… Hutang Makin Banyak Tapi Rakyat Tak Dapat Apa – Ismail Sabri


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pakatan Harapan (PH) adalah kerajaan yang gagal kerana gagal dalam menunaikankan janji manifesto, gagal dalam mentadbir negara dan dari segi ekonomi hutang makin bertambah disebabkan perlu dipotong intensif faedah kepada rakyat, tegas Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, sepatutnya kalau benar kerajaan dah berjimat maka hutang semakin berkurang tetapi hari ini hutang bertambah makin banyak dan rakyat tidak dapat apa-apa faedah.

“Kesan ekonomi yang semakin teruk, dari segi kebajikan rakyat tidak terjaga… contoh peneroka-peneroka FELDA, FELCRA dan pendapatannya hampir ‘kosong’ kerana harga sawit, getah yang semakin rendah.

“Kita tertunggu-tunggu apa yang kerajaan nak buat untuk stabilkan harga getah dan sawit, tapi kita mendengar perkara-perkara mengarut seperti membuat kereta terbang sedangkan mula-mula saya ingatkan lawak tapi rupanya serius.

“Negara maju yang keluarkan kereta pun tak pernah umumkan nak buat kereta terbang… rakyat sebenarnya kecewa seolah-olah ‘diversion’ kerajaan supaya orang buat kereta baru dan polemik untuk melupakan kegagalan hari ini bagi menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Beliau berkata demikian dalam sesi bicara bersama Ketua Pembangkang menerusi slot ‘Dari Parlimen’ yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Katanya, dari segi KL indeks Bursa Saham, prestasi negara yang terburuk di Asia dan untuk 2019 yang menurun adalah Malaysia sahaja sedangkan negara lain indeks bertambah.

“Saya takut ini tindak balas terhadap kesetiaan kakitangan kerajaan… kegagalan kerajaan hari ini dalam ekonomi mungkin salah satu sebab adalah janji sebelum pilihan raya untuk mewujudkan satu juta ruang pekerjaan; tetapi hari ini sudah 50 ribu pekerja dibuang.

“Ia bermula dari pekerja kontrak konon-kononnya ada kaitan dengan politik seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Biro Tatanegara (BTN) selanjutnya dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), MSN hingga 12 ribu pengawal keselamatan sekolah dibuang kerja.

“Lebih teruk lagi kakitangan kerajaan akan dikurangkan setiap tahun satu persen dan kita jangka lebih ramai kakitangan kerajaan akan dibuang kerja .

“Nampaknya mereka bukan menambah peluang pekerjaan tapi mengurangkan pekerjaan dan jangan lupa satu peratus dari kakitangan tersebut kebanyakan adalah golongan Melayu dan Bumiputra,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukanlah faKtor utama kerana pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak menurunkan harga.

“Saya percaya ini adalah kesilapan besar kerajaan kerana menukarkan GST kepada SST. Tidak ada dalam dunia hari yang ‘revers’ dari GST ke SST, hanya Malaysia sahaja, negara-negara yang memperkenalkan cukai semuanya memperkenalkan GST dan tidak ada negara yang memperkenalkan SST dalam percukaian baru mereka.

“Tidak ada GST suatu kesilapan dan apa yang dapat dilihat menukar semula kepada SST kesalahan kerajaan hari ini.”

Tegasnya, GST telah menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan 23 bilion kerana sewaktu GST dulu kerajaan mendapat 44 bilion tetapi melalui SST kerajaan mendapat 21 bilion.

“Kita bayangkan berapa banyak peruntukan untuk rakyat diberikan. Kalau kerajaan rugi 23 bilion tapi rakyat untung… tak apalah, tapi rakyat tetap terbeban dengan harga barang terus meningkat.

“Yang untung kehilangan 23 bilion adalah ‘black economy’ dan peniaga-peniaga yang boleh memanipulasi pendapatan mereka supaya tidak bayar cukai, rakyat rugi, kerajaan rugi kerana untung peniaga-peniaga yang menipu dari segi cukai dan sebagainya. Ini semua memberi impak kepada negara,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.