MP Pembangkang Keluar Dewan, Protes Keputusan Tidak Adil Timbalan Speaker

 

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini bertindak keluar Dewan sebagai tanda protes dengan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang menggantung Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) selama tiga hari.

Tindakan keluar Dewan tersebut sebagai tanda tidak berpuas hati dengan penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang tidak adil oleh Timbalan Speaker.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Noh semalam merupakan isu di luar Parlimen dan di atas kapasiti Kor Ming sebagai seorang pemimpin Dap.

“Saya percaya Tanjung Karang hanya minta penjelasan daripada Kor Ming dan jika tidak benar, Ahli Parlimen Teluk Intan itu boleh mengambil tindakan saman terhadap media yang melaporkan.

“Hari ini Teluk Intan telah salahguna kuasa bila mengambil tindakan yang mempertahankan tindakannya di luar Dewan, menggunakan kuasanya sebagai Timbalan Speaker,” ujar beliau dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, apa yang pelik, ketika keputusan dibuat, Noh tidak berada di dalam Dewan dan ini diibaratkan suatu ketidakadilan terhadap Noh.

Kor Ming hari ini memutuskan Noh dilarang memasuki Dewan Rakyat selama tiga hari susulan tindakan Noh semalam yang melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan apabila mengatakan Kor Ming tidak layak memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker.

Noh juga semalam meminta Kor Ming untuk menjawab sama ada benar atau tidak dia ada mengeluarkan kenyataan bahawa kerjasama UMNO dan PAS ibarat Taliban.

Terdahulu, ketika Nga Kor Ming mengeluarkan arahan tersebut, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said bangun dan memohon supaya arahan itu dibacakan ketika Noh berada di Dewan Rakyat bagi memberi peluang Anggota Parlimen Tanjung Karang itu membela diri.

Ismail mencadangkan sekiranya Noh enggan memohon maaf atas kenyataan itu, barulah arahan yang dikeluarkan Nga dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, cadangan Ismail yang turut disokong Anggota Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan itu ditolak Nga yang menegaskan menjadi tanggungjawab semua anggota Parlimen untuk berada di dalam dewan ketika persidangan.

Setelah beberapa kali meminta Nga mempertimbangkan cadangan beliau, Ismail kemudian bangun memohon keluar dari sidang dewan ketika Nga mempengerusikan persidangan yang kemudian diikuti anggota Parlimen pembangkang yang lain. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.