Laporan Polis, Peminjam AIM Dipaksa Undi PH Di PRK Semenyih


KAJANG, 27 Feb – Satu laporan polis dibuat hari ini di Balai Polis Kajang ekoran peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dipaksa untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal berlangsung 2 Mac ini.

Menurut Ketua Wanita Bahagian Hulu Langat, Ruhani Kasim, tindakan yang dilakukan ini adalah satu tindakan yang tidak rasional.

“Saya hari ini menemani pengadu yang merupakan pengundi di sini. Menurut pengadu, dia telah menerima satu panggilan telefon daripada ketuanya dalam AIM untuk mencari sebuah rumah dengan tujuan mengumpulkan semua peminjam dan ahli keluarga untuk dipaksa mengundi PH.

“Setiap pengundi mempunyai hak untuk mengundi siapa sahaja yang mereka suka. Tidak perlu mereka ini dikurung dan dipaksa,” ujar beliau kepada UMNO-Online selepas membuat laporan polis.

Tambah beliau, maklumat pengadu terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan.

“Kita juga akan terus membuat laporan polis bila kita dapat mengumpulkan peminjam lain yang turut dipaksa.

“Ini adalah satu tindakan terdesak PH yang tidak sepatutnya berlaku,” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.